Monday, May 23, 2011

Cantikkanlah dirimu duhai isteri


Isteri tampak cantik walaupun sudah ada anak
Dah berkahwin namun kecantikan MESTI dijaga. Untuk diri sendiri kerana amanah pada diri kita. Definisi cantik adalah subjektif untuk diperkata. Terpulang kepada setiap individu mentafsirnya. Perkongsian kali ini tentang kecantikan wanita ( isteri ) yang harus dijaga.

Sesungguhnya perempuan dengan kecantikan Susah untuk dipisahkan. Rasanya mata kita akan teralih kepada yang cantik dahulu kan.

Kerana apa kena jaga?
Kerana kita bertanggungjawab dengan apa yang dipertanggungjawabkan pada kita. Allah memberi kita wajah yang cantik namun macamana kita menjaganya.

Apatah lagi isteri yang PERLU menjaga penampilan diri. Buat tatapan suami tercinta yang bekerja di luar sana . Penat bekerja seharian mencari nafkah. Dan dugaan wanita yang lebih cantik menjadi ujian mata kalau tidak menjaga.

Rasanya semua suami suka tengok muka isteri licin berserikan?

Dalam agama Islam pun ada di sebut tentang kepentingan isteri berhias untuk suami

Sabda Rasulullah SAW: “Dari Jabir ra. Ia berkata: Kami pernah pergi bersama-sama Rasulullah di dalam satu peperangan. Ketika kami sampai ke Madinah, kami ingin masuk ke rumah masing-masing. Maka Rasulullah SAW pun bersabda: Bersabarlah, iaitu masuklah pada waktu malam iaitu selepas Isyak, supaya isteri dapat bersikat rambutnya yang kusut dan supaya ia dapat berhias kerana telah lama telah ditinggalkan suaminya.” (HR:Muttafaqun Alaihi)

Rasululllah bersabda, “Jika diizinkan seorang manusia sujud kepada manusia,tentu aku akan suruh wanita-wanita sujud kepada suaminya”.- ( HR Al-Tirmizi hasan sahih )

Namun berhati-hati dalam berhias atau mencantikkan diri ( tabaruj ). Jangan sesekali berlebih-lebihan dalam berhias pada orang yang tak sepatutnya sangat dilarang oleh agama.

Contohnya tabaruj pada orang selain suami. Ramai wanita sekarang melakukannya secara sedar atau tidak . Realiti wanita bekerja di luar sana. Awas ya.. Pastikan kita semua di zon biasa. Kalau tidak mengundang bahana melibatkan dosa dan pahala.

Allah SWT berfirman: وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلاَ تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الجَاهِلِيَّةِ الأُولَى  “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah.” (Q.S. Al-Ahzab: 33)

Dalam mencantikkan diri, sebagai seorang muslimah kita mempunyai batasan batasan tertentu.

Agar kita menjaga keaslian pemberian Allah. Tidak mengubah pemberian Allah yang mengundang kemarahan Pencipta Yang Agung Berkuasa.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya, "Allah mengutuk (melaknat) perempuan yang bertatu atau minta di buat tatu, yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, perempuan yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah." (HR Thabarani dan Ibnu Mas'ud )

Aisyah r.a. meriwayatkan, "Seorang perempuan Anshar telah kawin, dan sesungguhnya dia sakit sehingga gugurlah rambutnya, kemudian keluarganya bermaksud untuk menyambung rambutnya, tetapi sebelumnya mereka bertanya dulu kepada Nabi, maka jawab Nabi: Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan yang minta disambung rambutnya." (HR Bukhari)

"Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke masjid (atau mengerjakan sembahyang), makanlah dan minumlah, dan jangan pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai akan orang-orang yang berlebih-lebihan (melampaui batas)." (Surah Al-A'raaf, ayat 31)

Kecantikan diri mesti dijaga. Namun kecantikan ruhani juga patut dijaga agar sentiasa mengaurakan pada wajah kita.

Apakah kecantikan rohani. Kecantikan dari dalam. Ramai yang nampak muda remaja dari usia sebenar kerana menjaga perkara-perkara dalaman yang wajib dipelihara

Jaga hubungan diri dengan Pencipta Kita . ALLAH subhanawwataala.

Rasulullah SAW menggambarkan keindahan agama yang dibawanya dapat difahami daripada sebuah hadis yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah itu cantik dan Allah sukakan kecantikan." (HR Muslim dan At-Tirmidzi)

Sabda Rasulullah s.a.w : “Tiga perkara sesiapa yang memilikinya akan mendapat kemanisan iman: menjadikan Allah dan Rasulnya lebih di cintai daripada kedua-duanya…” ( HR Bukhari dan Muslim )

Jaga perasaan supaya tidak menjadi seorang yang negative came first.  Elakkan memandang orang lain dengan penuh prasangka pandangan mata yang jahat & penuh bersyakwasangka.  Ringankan mulut memberikan salam. Murahkan senyuman apabila diperlukan.

Ya, Pendamping setia pada sang suami tercinta

“Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya ) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka…” (Surah An-Nisa’:34)

Namun ada juga perkara lain yang penting juga untuk menambahkan seri di wajah. Sememangnya pengambilan makanan yang melicinkan wajah adalah penting supaya jerawat atau jeragat dapat dikurangkan di muka. Banyakkan minum air suam atau air kosong ( bukan air sejuk berais )

Elakkan makanan yang memberi kesan pada kulit mengikut citarasa kulit masing-masing Ada kulit yang alah macam saya dengan makanan kekacang, Atau makanan berminyak mengikut kemampuan dan keberkesan pada diri anda Lebihkan sayur sayuran dan buah –buahan segar terutamanya tomato, sawi, dan lain-lain.

Dan haruslah mencuci muka bila sampai waktunya . Memakai secalit krim ( krim, sunblock krim, moisturizer atau bedak ) . Untuk menjaga tona warna kulit  & memelihara kulit daripada pancaran matahari yang semakin telus dari lapisan ozon.  Supaya kulit kelihatan bermaya, dan tiada noda-noda kecil.

Yang mukanyaselalu berjerawat. Jangan memicit jerawat sesuka hati walaupun tangan sentiasa gatal di muka.
Elakkan memegang muka selalu dengan tangan tanpa dibasuh terlebih dahulu.

Dan yang paling penting kawal emosi kita tatkala menghadapi tekanan.
Supaya kelihatan lebih bertenang sentiasa apabila menghadapi ketegangan dalam suasana.

Saya bukan ratu cantik
Bukan juga duta kosmetik
Cuma ingin berkongsi coretan pena
Menjaga kulit lebih baik
Supaya kita kelihatan cantik
Kerana sememangnya semua wanita Dan ciptaan Allah sememangnya cantik.
Yang penting kita semua suka CANTIK KAN…

Jom semua isteri kita kembalikan seri kecantikan kita….

“Rasulullah s.a.w ditanya tentang sebaik-baik wanita. Baginda menjawab: Yang menyukakan kamu apabila memandangnya. Apabila disuruh, dia patuh, menjaga rahsiamu dengan baik dan menjaga harta kamu”.- (HR Ahmad )

isteri tetap comel di mata suami : )
Semoga kita menjadi isteri yang mudah masuk syurga amin..

“Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:“Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga.”( HR Tirmidzi dan Ibn Majah )
"Rasulullah s.a.w bersabda : Apabila seorang isteri solat fardhu yang lima, puasa sebulan ramadhan, menjaga kemaluannya, taat kepada suaminya, maka dia masuk syurga".(HR Muslim)

Saturday, May 21, 2011

Menasihati... dan dinasihati


Menasihati orang lain,
Memberikan kata-kata positif
Memberikan keyakinan diri
Adalah perkara yang manis bila kita keluarkan .
Tatkala jiwa pendengar kekosongan dimamah kedukaan.
Mudah-mudahan membuahkan buah keimanan.

Agama itu adalah sesuatu ruang untuk menasihati dan dinasihati . Amal ma’ruf nahi mungkar.

Dari Abi Ruqayyah Tmim Bin Aus al-Dary r.a : Sesungguhnya Nabi SAW bersabda : Agama itu nasihat. Kami berkata : Bagi siapa ? Baginda SAW bersabda : Bagi Allah, bagi Kitab-Nya, Bagi Rasul-Nya dan bagi pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan orang-orang awam mereka.( HR Muslim )

Sangat bagus kalau seseorang mempunyai sikap yang suka menasihati,
Berada di medan yang menuntut kita menasihati di kala ruhiyyah kita mantap mahupun sebaliknya,
Apatah lagi menjadi murobbi dalam lingkungan tarbiyah,
Dan juga sebagai seorang daei.

Ya, sememangnya kita dilahirkan sebagai khalifah di muka bumi. Seorang Daei.

Menjalankan kehidupan, perniagaan berorentasikan membanyakkan pahala dan kurangkan dosa.

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan hartabenda dan diri kamu”.( QS 61:10-11)

Melalui kehidupan yang memerlukan perngorban untuk kekal di orbit dakwah.

Nasihat menasihati adalah kemestian bagi yang masih hidup supaya nanti tidak merasa kerugian.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal shaleh dan nasihat menasihati untuk kebenaran dan nasihat menasihati  untuk kesabaran." (QS103: 1-3 )

Kita yang suka memberi nasihat,
Mungkin kerana kita murobbi, guru, ibu, kakak,
Pengaruh berkata melebihi aras tanda,
Kadang-kala tersasar jauh dari apa yang dinasihati,
Mungkin ujian pada yang memberikan nasihat & mendengar,
Mengeluarkan kata-kata keterlaluan sedangkan diri entah dimana,
Memperlihatkan highway pada setiap permasalah,
Mempositifkan kisah perkahwinan mengalahkan percintaan cindrelela,
Mencantikan kilauan kehidupan diulit kesenangan,
Mendedahkan kebaikan sehingga tidak kelihatan kekurangan sebagai seorang insan,
Memperdagangkan kemewahan sedangkan berjaya menutupi kemiskinan hakiki,
Membutakan orang lain dengan liku-liku kehidupan yang penuh ranjau dan duri,
Menambah perasa untuk memaniskan setiap rasa pahit yang terpalit di lidah sendiri,
Memutihkan warna-warna yang sedia ada dalam kotak warna,
Menyorokkan perjalanan yang menyakitkan untuk merebut syurga idaman,
Memberi azimat pada yang memerlukan,
Merawat hati yang sedang tak keruan,
Menghadiahkan jiwa dengan kebahagiaan,
Mengdambakan masa untuk sebuah harapan,
Sehingga hampir memalsukan realiti sebuah kehidupan,
Mengaburkan kesakitan  sebuah kehidupan,
Demi mencapai pengakhiran yang menenangkan,
Demi memiliki kesudahan seperti yang diharap-harapkan,
Umpama watak dalam novel-novelan.

Kerana apa?

Tepuk dada tanyalah selera, dan tanya juga iman di dada.

Kita semua ada jawapannya.

“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana” (QS 9: 71)

Jesteru itu, saya menulis bukanlah untuk menghalang kita melebarkan nasihat, menghentikan anda memanjangkan kata-kata positif, mengehadkan ruang di celah- celah kehidupan.

Tidak ! wahai para pembaca.

Malah saya pun suka menerima nasihat , apatah lagi memberi nasihat.

Cuma mengharapkan kita ( saya dan anda )yang sedang membaca,

Kita semua yang selalu menghadiahkan nasihat agar sentiasa berdoa dijaga bicara kata,
tidak berlebih-lebihan melebihi amal diri, menasihati dan memberi penyelesaian seiring dengan keadaan bukan mengikut perasaan kita tanpa batasan.

Semoga ia menjadi motivasi diri untuk menjadi lebih baik dari yang di sangka.

Doakan kita semua menjaga kata,

Kerana  bimbang bicara kata melebihi amal perbuatan kita.

Kata-kata melunjur laju tak seiring kiraan amal

Khuatir neraca amal kita entah bagaimana rupanya.

Jom kita menasihati diri sendiri .

Menjadi baik dan lebih baik dari apa yang di kata.

Jadikan Rasululullah sebagai idola kita .

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu DIAlah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalanNya dan DIAlah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah” (QS 16:125 )

Duhai hati jangan berhenti memberi nasihat dan istiqomahla menasihati diri sendiri .

___Saya sayang anda semua. Maafkan saya andainya anda terasa.___

Wednesday, May 18, 2011

Bicara tentang Jodoh.


Diantara perkongsian hati yang menyentuh hati saya tatkala diri saya dilanda tsunami ujian kehidupan yang hanya Allah mampu merungkaikan penyelesaian.

Pelawaan Ukhti Nurul Adni ke Uia untuk mendengar Talk tentang jodoh pilihan.

Dengan izin Allah dan kelapangan kami ketika itu

Maka, Saya, adik, Ukhti Nurul Adni & Abdullah yang comel berada dalam dewan kuliah UIA

Saya tertarik dua soalan dari seorang muslimah.

Tentunya persoalan jodoh adalah macamana nak dapat jodoh pilihan yang terbaik.

" Macamana nak dapat jodoh yang baik  ? "

 " Apakah tips keluarga Bahagia ? "



Saya menguntum senyuman berada di bangku peserta,

Soalan meminta tips dapat jodoh yang baik soalan pilihan.

Apatah lagi penceramah yang jauh di depan sudah bekeluarga

Tampak bahagia di mata saudari yang bertanya

Hakikat kehidupan dalam perkahwinan tidak semudah apa yang di hujahkan.

Impian pada pasangan kita dahulukan & lebihkan.

Hmmmm pastinya semua sudah tahukan senarai jawapan.

Dengan lambakan buku jodoh pilihan,tips-tips menarik rasanya tiada alasan untuk berkata TIDAK TAHU

Apakah cara nak dapatkan jodoh yang baik & tips keluarga bahagia.

Namun jawapan yang diberi oleh Ummu Abdillah sangat menyedarkan saya dari lamunan yang panjang
Berbeza dengan jawapan yang selalu ditemui.

Dimulakan dengan perkongsian hadith ini


الحديث الثامن عشر

عَنْ أَبِي ذَرٍّ جُنْدُبِ بْنِ جُنَادَةَ وَ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمٰنِ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ((اِتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ، وَأَتْبِعِ السَّـيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ.))


رواه الترمذي [ رقم : 1987 ] وقال : حديث حسن ، وفي بعض النسخ : حسن صحيح .

HADIS 18
Daripada Abu Zar Jundub ibn Junadah dan Abu Abdul Rahman Mu'az ibn Jabal, r.a., daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda: "Bertaqwalah engkau kepada Allah walaupun di mana engkau berada, dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik."  ( HR Tarmizi )


Ya, tentunya kita akan berdoa yang baik-baik seawal kita belum mengenal perkataan Cinta

Semua orang berdoa dapat suami  soleh mahupun isteri yang solehah

Walaupun bayang isteri belum nampak.

Berdoa agar dapat jodoh yang baik. Walaupun usia baru mencecahkan belasan.

Mengharapkan sinar kebahagiaan perkahwinan dari aura kebaikan pasangan

Mendambakan kesudahan cinta seperti watak novel islami di pasaran

Mengangankan kehidupan indah persis dalam lamunan

Menginginkan kebahagiaan yang berpanjangan dengan kemudahan dan kesenangan.

Fitrah manusia sangat cenderung ke arah kebaikan

Hakikatnya memulakan niat untuk pernikahan bukan semudah

Declare hubungan percintaan di alam maya

Belum pernah saya mendengar pernikahan yang didirikan

Tanpa gelombang perasaan dan ujian berterusan.

Jawapan yang mudah dan menyedarkan saya tentang ketidak sempurnaan sesiapa pun sebagai pasangan.

Ruang diri kita untuk menjadi pasangan yang baik
Peluang untuk meraih ketenangan adalah hak milik semua insan
Kunci bahagia dan ketenangan hati pada diri sendiri
Bertaqwalah kepada Allah dengan apa jua yang ada.
Dan dimana kita berada
Pakaian taqwa adalah pakaian yang terbaik.
Balasla kejahatan dengan kebaikan ( bab ni kena mujahadah sangat )
Dan percaya lah dahulukan husnu amal
Baru husnuzon .

Semua mesti percaya dengan ketentuan Allah kan.

Niat yang baik, iqtiba rasul dan sekali lagi ikhlas kan lah hati dalam semua perbuatan ke arah pernikahan.

Dan terus berdoa sebelum dapat jodoh selepas dapat jodoh

Mahupun selepas berpisah dengan jodoh yang lalu
Dan dipertemu dengan jodoh yang baru yang lebih sholeh & solehah

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui misteri jodoh kehidupan kita.

Allah Mengetahui & Memberikan yang terbaik pada kita semua.. PASTI

Sunday, May 15, 2011

Realiti kehidupan seorang guru.(Edisi Khas buat pelajar)


Jika dulu guru terkenal dengan rehat yang panjang
Tapi realitinya pekerjaan guru meliputi kerja pengkeranian
Jika dahulu guru kaya dengan cuti yang banyak
Hakikatnya cuti guru tidak seindah yang disangkakan
Kesibukan guru di sekolah tiada tandingan
Gaji guru di dunia bukanlah lumayan
Tapi ganjaran disisi Tuhan itu yang diutamakan

Guru tidak mungkin menjadi jutawan
Sikap dermawan dan ilmuan pasti menjadi ikutan
Kehidupan guru sebati dengan pengorbanan

Jika dulu pelajar sangat menghormati guru
Menjadikan guru sumber inspirasi
Tapi kini pelajar selalu bermain dengan emosi sendiri
Seperti manusia yang tidak punya hati
Guru dipandang tidak ubah seperti orang lain
Kadang-kadang entah sesiapa yang difikirkan.

Jika dulu guru sangat disegani oleh masyarakat
Tapi kini guru adalah manusia yang boleh disaman-samankan
Tersalah gaya hancur di gelanggang muka pengadilan
Jika dulu guru di agung – agungkan
Tapi kini………
Apa yang anda fikirkan ?

Itulah gambaran yang diberikan.


Kini Persepsi guru sangat berbeza
Di desa, pekan dan Bandar metropolitan.
Masing-masing mempunyai pelbagai tanggapan
Pada insan yang memberi pendidikan
Jika dulu guru menjadi idola dan rujukan
Tapi kini menjadi bahan kutukan sesama rakan


Masihkah ramai pelajar yang mempunyai perasaan kemanusiaan
Menghormati seorang insan yang memulakan segala pengalaman
Merakamkan detik awal sebuah kehidupan
Dari seorang yang kosong sehingga sarat dengan pengetahuan.

Adakah anda masih mempunyai penghormatan pada guru.
Berhenti sejenak menghayati hadith di bawah:

Daripada `Ubadah ibn Samit bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Bukanlah daripada umatku sesiapa yang tidak memuliakan orang yang lebih tua dan mengasihi kanak-kanak serta mengakui hak orang yang berilmu di kalangan kita." ( HR Ahmad, al-Tabarani dan al-Hakim )

Daripada Abu Hurairah r.a., katanya, "Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Pelajarilah ilmu pengetahuan dan pelajari juga dengan ilmu tersebut ketenangan jiwa dan kerendahan diri. Rendahkanlah diri kamu kepada orang yang mengajar kamu." ( HR Al Tabarani )

Fikir-fikirkan wahai pelajar kesayangan.

Pada guru, Semoga tabah menghadapi rintangan
Mudah-mudahan perjuangan seorang guru di medan pendidikan
Memberikan pulangan yang lumayan dunia dan akhirat

Selamat Hari guru pada teman-teman
Teruskan berjuang di medan pendidikan

"Kelebihan orang yang berilmu berbanding `abid samalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang."
(HR Abu Daud & Al-Tirmizi)





Sunday, May 8, 2011

Kemanisan Ukhwah Pengubat Hati…


 sahabat yang dekat di hati & senang di cari
    
sahabat penting  detik pernikahan saya

sahabat Uitm ed222

sahabat jauh di mata dekat di hati
    
sahabat sekolah di majlis pernikahan saya

   
 Di saat ahli keluarga tidak memahami isi hati dan jauh dari sisi. Peranan insan yang bernama sahabat sangat penting.

Yang mampu menguntumkan senyuman kita disaat hati diruntun kedukaan.

Meredakan kegelisahan yang melanda diri.

Alam persekolahan banyak menyaksikan sikap-sikap ‘setia kawan’ dalam kehidupan . Maka tak hairanla ramai pelajar bersilat dan berperang mulut kerana menyokong kawan yang teraniaya. Semangat ‘setia kawan’ katakan.

Namun bila usia semakin bertambah nilai persahabatan semakin mahal harganya .

Lebih mahal harga rumah di Shah Alam. ( mahalkan )

Agak susah memulakan persahabatan yang berkualiti seakan mencari intan permata dalam serpihan kaca yang bertaburan.

Masa dan kemajuan teknologi yang meluncur laju kadangkala tak mampu mengembalikan seri nilai persahabatan yang terbina selama ini.

Kesibukan bekerja semakin terasa.

Kehendak dunia sentiasa meminta minta menghilangkan aura perhubungan yang dibina. Dulu kita hadapi ketakutan menghadapi peperiksaan , explorasi kehidupan, menjadi teman bualan sehingga ke fasa mencari jodoh idaman.

Persahabatan semakin menyepi kerana perhubungan kita berukhwah sesama sendiri telah bertukar dengan pembentukan keluarga sendiri.

Zaman persekolahan berkubur pergi, zaman pekerja tidak seluas lautan. Masing-masing terikat dengan jadual harian setiap hari.

Dunia teknologi meluncur laju sepantas masa bergerak dari hari ke hari.

Kemanisan ukhwah dalam tarbiyah adalah keindahan yang tidak boleh di jual beli.

Sukar di cari, dan payah dimiliki. Saya memiliki kawan yang ramai dari zaman sekolah.

Sayangnya kini bilangan jumlah sahabat mengecil seperti bunga yang menguncup di malam hari .

Hanya yang selalu memberi pengertian rohani dan dekat disisi mampu kekal di hubungi & dekat dihati..

Hanya yang selalu memberi dan menerima seikhlas hati.

Memulakan perhubungan bermodalkan keikhlasan.

Berlapikkan keimanan dalam setiap ketegangan dalam perhubungan.

Menyedarkan diri kita di saat kelalaian.

Mendoakan kesejahteraan kita dalam diam.

Saya sangat menghargai semua sahabat yang hadir dan mewarnai kehidupan saya seindah pelangi.

Jom kita eratkan hubungan ukhwah dengan sahabat-sahabat.

Sahabat yang kita berkumpul kerana Allah, bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.


Dari Abu Hurairah r.a. katanya :Rasulullah s.a.w. bersabda : "Tujuh golongan dilindungan Allah di hari yang tidak ada lindungan selain lindunganNya : Imam(pemerintah) yang Adil dan pemuda yang masa mudanya dipergunakannya untuk beribadat kepada Allah, dan seorang lelaki yang hatinya terikat ke masjid, dan dua orang yang berkasih sayang kerana Allah kedua-duanya berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah, dan seorang lelaki yang dirayu oleh perempuan bangsawan dan jelita tetapi lelaki itu menolak dengan mengucapkan :"Sesungguhnya saya takut kepada Allah"dan seseorang yang bersedekah dan disembunyikan sehingga tangan kanannya tiada mengetahui apa yang nafkahkannya oleh tangan kirinya dan seseorang yang mengingati Allah di waktu sendirian lalu berlinangan air matanya." (Hadis sahih riwayat Muslim)













Saturday, May 7, 2011

Selamat Hari Ibu

Inilah emak saya yang murah dengan senyuman :)


Tiada apa yang saya mampu ucapkan  selain syukur Alhamdulillah ke hadrat Ilahi di atas pemberian istimewa seorang emak disisi. Pemilik nama Asnah Binti Ismail sebagai pelengkap hidup saya.

Emak,  pentarbiyahan pertama saya,

Cekal membesarkan saya, adik, abang serta adik beradik yang seibu lain bapa, seayah lain ibunya dengan penuh kelembutan dan kesabaran.

Walaupun saya sudah berumahtangga,

Emak saya selalu menemani saya dan berada serumah dengan saya seperti dahulu. Saya suka mak saya duduk dengan saya saya lama-lama.

Emak, membesarkan kami adik beradik tanpa bimbingan ayah disisi setelah dijemput Ilahi.

Ayat yang menyentuh saya bila saya diuji musibah yang sangat meruntun jiwa saya.

“ Emak rela hidup susah tapi mak tidak akan biarkan anak mak yang susah ” .

Ucapan ini hanya terbit dari bibir seorang ibu yang menyayangi anaknya sepenuh hati.

Saya percaya semua emak yang ikhlas hatinya mempunyai  perasaan yang sama.

Dan faktor inilah saya rela berkongsi kesusahan dengan insan terdekat dengan saya kerana bimbang kerisauan yang keterlaluan tatkala mengetahui saya mempunyai sedikit masalah.

Tidak berniat memperlekehkan sumbangan bapa tapi itulah hakikat sebuah kehidupan bekeluarga.

Ibu lebih berjiwa terhadap anak -anak  .

Bapa juga memainkan peranan yang penting juga :)
( Jangan marah bapa-bapa penulisan khas buat bapa akan dikeluarkan juga nanti  bila hari bapa kunjung tiba )

" Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)". [Luqman 31:14]

Jom pembaca semua kita saling mohon maaf pada mereka

Dan maafkan kesalahan mereka supaya melembutkan hati kita dan jauhkan kita dari dendam kesumat dalam dada

Dan yang paling penting kita harus membalas budi mereka dengan kebaikan yang tiada hentinya

Dan wajib mendoakan ibu bapa kita dimana jua mereka berada selagi mereka hidup ataupun sudah tiada
Semoga kita menyayangi ibu kita seadanya.


Tanpa ibu siapalah kita…

“ Mak , cek sayang kat mak”. 4 patah perkataan pada emak saya sempena hari ibu sedunia.. 

saya & emak . Sama tak muka kami  :)


 Hihihi tersenyum mak membaca entry ni.

Kepada semua ibu-ibu. Semoga kebaikan dan kesabaran anda sepanjang memegang gelaran ibu dapat membahagiakan anda dunia dan akhirat amin.

Monday, May 2, 2011

Bermula dengan senyuman, hiasi kebaikan akhlak



Suatu ketika dulu, saya terlibat dengan program anjuran Perkeso untuk semua bakal pelajar PMR dan SPM. Disana kami diberi pelbagai tips semerlang dalam pelajaran, qiyamulai dan sukan. Waktu itu saya berusia 15 tahun.
Saya ditempatkan dengan 3 orang pelajar yang berlatar belakangkan kehidupan serba berbeza. Hanya satu persamaan yang nyata kami menjalani kehidupan remaja tanpa kasih seorang bapa .
Sepanjang saya  berada di sana, Qiyamulai tidak sangat terasa. Mungkin sebab buat tanpa apa-apa rasa. Kena paksa!.

Dan dihujungnya kedengaran ratusan jeritan tidak  menyentuh hati saya. Saya dan seorang pelajar sangat mahal airmatanya. Mungkin kerana ayah saya meninggal semasa saya masih kecil dan dia pula meninggal semasa berada dalam kandungan ibunya selama 2 minggu. Jadi kami kurang penghayatan bila speaker memprovokasi kami dengan kisah sedih untuk semua pelajar menangis.
Namun saya tertarik dengan peribadi seorang kakak, pemakaiannya sangat mempersona,sentiasa berbaju kurung dan t shirt lengan panjang.( masa tu mana ada t shirt muslimah lagi )
 Tutur katanya sangat terjaga dan lembut berbicara. Tidak sesekali pun, telinga saya terjamah dengan suara yang kuat atau sindiran yang sinis. Walaupun kami semua orang utara. Sindiran menjadi salah satu budaya dalam menyampaikan ayat pelbagai cara dengan menggunakan  bahasa yang sama.
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu saling benci-membenci, dengki-mendengki dan sindir-menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya “(HR. Muslim)
Senyuman tak lekang di bibir. Raut wajah sangat biasa tapi ketenangan jelas terpancar pada sesiapa yang memandang. Saya bukan pemuja manusia, apatah lagi saya juga seorang wanita . Namun kehadiran seorang kakak yang tiada pertalian darah memberikan anjakan paradigma pada diri saya . Pertemuan pertama dan yang terakhir bagi saya meninggalkan seribu makna. Menjadi cetusan saya untuk mencari keindahan pada agama selain dengan kesungguhan doa saya nak jadi baik dan rahmat Allah menjaga saya sentiasa di mana jua berada.
Satu perkara yang menyentuh hati saya. Dia selalu menuturkan Allah dimana jua berada dan apa jua perbualan kami bermula. Dia mempunyai AKHLAK yang baik walaupun kehidupan dia serba kekurangan dan diselubungi masalah keluarga yang tak berkesudahan. Sehinggakan saya selalu mendampingi kakak ni kerana rasa sangat bahagia sepanjang di sana.
Walaupun kakak ni tidak sempat berkhutbah pada kami,  tidak memberikan tips-tips cemerlang dalam pelajaran. Keberadaan akhlak yang baik sangat memotivasikan diri untuk menjadi sepertinya atau baik dari itu.
Di layar cerekarama pun watak utama yang baik lebih di puja berbanding dengan watak antagonis. Namun realiti kehidupan manusia lebih biasa dan memilih watak antagonis yang lebih mencabar perwatakannya di alam nyata berbanding watak baik .
Senyuman susah nak terukir dan bersyarat. Bila kita bertemu dengan orang yang dikenali, orang berjawatan lebih dari kita atau kita gembira barulah kuntuman senyum terukir.
Walhal senyuman adalah sedekah yang paling senang dilakukan tanpa menggunakan tulang riang yang lain.
Bila diri menginjak dewasa , Saya lebih mengenal erti akhlak yang baik. Teringat pada kakak yang saya sudah lupa namanya kalau tidak mesti dapat dicari dalam facebook.
Akhlak Rasulullah adalah akhlak  yang terindah dan patut dikagumi oleh seluruh umat manusia.
Benar, Akhlak yang baik  susah dijaga dan pelihara. Berteori lebih mudah berkata berbanding realiti kehidupan sebenar.
Sejajar dengan kesan dan ganjaran dunia dan akhirat yang diberi kelak.  
Mari sama-sama menjadi seorang yang berakhlak baik.
Abdullah bin Al-Harist Radliyallahu’anhu menuturkan, yang ertinya,”Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah Shallahu ‘alaihi wa Sallam “. (Riwayat At-Tirmidzi)
Al-Husein Radliyallahu’anhu, cucu beliau, menuturkan keluhuran budi pekerti beliau. Ia berkata,” Aku bertanya kepada Ayahku tentang adab dan etika Rasulullah Shallahu ‘alaihi wa Sallam terhadap orang-orang yang bergaul dengan beliau. Ayahku menuturkan, ‘Beliau Shallahu ‘alaihi wa Sallam senantiasa tersenyum, budi pekerti lagi rendah hati, beliau bukanlah seorang yang kasar, tidak suka berteriak-teriak, bukan tukang cela, tidak suka mencela makanan yang tidak disukainya. Siapa saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan siapa saja yang memenuhi undangannya pasti akan senantiasa puas…..” (Riwayat At-Tirmidzi)

“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasululah itu suri tauladan yang baik bagimu.” (QS. Al-Ahzab : 21).

Terbaru

ORANG HEBAT UJIANNYA HEBAT.

Isu poligami dan penceraian memenuhi ruang maya. Ada yg pm dan mesej saya tanya sembang pasal ni. Macamnilah. Rahsia penghujung ke...

Penulisan Yang diminati ramai