Sunday, May 8, 2011

Kemanisan Ukhwah Pengubat Hati…


 sahabat yang dekat di hati & senang di cari
    
sahabat penting  detik pernikahan saya

sahabat Uitm ed222

sahabat jauh di mata dekat di hati
    
sahabat sekolah di majlis pernikahan saya

   
 Di saat ahli keluarga tidak memahami isi hati dan jauh dari sisi. Peranan insan yang bernama sahabat sangat penting.

Yang mampu menguntumkan senyuman kita disaat hati diruntun kedukaan.

Meredakan kegelisahan yang melanda diri.

Alam persekolahan banyak menyaksikan sikap-sikap ‘setia kawan’ dalam kehidupan . Maka tak hairanla ramai pelajar bersilat dan berperang mulut kerana menyokong kawan yang teraniaya. Semangat ‘setia kawan’ katakan.

Namun bila usia semakin bertambah nilai persahabatan semakin mahal harganya .

Lebih mahal harga rumah di Shah Alam. ( mahalkan )

Agak susah memulakan persahabatan yang berkualiti seakan mencari intan permata dalam serpihan kaca yang bertaburan.

Masa dan kemajuan teknologi yang meluncur laju kadangkala tak mampu mengembalikan seri nilai persahabatan yang terbina selama ini.

Kesibukan bekerja semakin terasa.

Kehendak dunia sentiasa meminta minta menghilangkan aura perhubungan yang dibina. Dulu kita hadapi ketakutan menghadapi peperiksaan , explorasi kehidupan, menjadi teman bualan sehingga ke fasa mencari jodoh idaman.

Persahabatan semakin menyepi kerana perhubungan kita berukhwah sesama sendiri telah bertukar dengan pembentukan keluarga sendiri.

Zaman persekolahan berkubur pergi, zaman pekerja tidak seluas lautan. Masing-masing terikat dengan jadual harian setiap hari.

Dunia teknologi meluncur laju sepantas masa bergerak dari hari ke hari.

Kemanisan ukhwah dalam tarbiyah adalah keindahan yang tidak boleh di jual beli.

Sukar di cari, dan payah dimiliki. Saya memiliki kawan yang ramai dari zaman sekolah.

Sayangnya kini bilangan jumlah sahabat mengecil seperti bunga yang menguncup di malam hari .

Hanya yang selalu memberi pengertian rohani dan dekat disisi mampu kekal di hubungi & dekat dihati..

Hanya yang selalu memberi dan menerima seikhlas hati.

Memulakan perhubungan bermodalkan keikhlasan.

Berlapikkan keimanan dalam setiap ketegangan dalam perhubungan.

Menyedarkan diri kita di saat kelalaian.

Mendoakan kesejahteraan kita dalam diam.

Saya sangat menghargai semua sahabat yang hadir dan mewarnai kehidupan saya seindah pelangi.

Jom kita eratkan hubungan ukhwah dengan sahabat-sahabat.

Sahabat yang kita berkumpul kerana Allah, bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.


Dari Abu Hurairah r.a. katanya :Rasulullah s.a.w. bersabda : "Tujuh golongan dilindungan Allah di hari yang tidak ada lindungan selain lindunganNya : Imam(pemerintah) yang Adil dan pemuda yang masa mudanya dipergunakannya untuk beribadat kepada Allah, dan seorang lelaki yang hatinya terikat ke masjid, dan dua orang yang berkasih sayang kerana Allah kedua-duanya berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah, dan seorang lelaki yang dirayu oleh perempuan bangsawan dan jelita tetapi lelaki itu menolak dengan mengucapkan :"Sesungguhnya saya takut kepada Allah"dan seseorang yang bersedekah dan disembunyikan sehingga tangan kanannya tiada mengetahui apa yang nafkahkannya oleh tangan kirinya dan seseorang yang mengingati Allah di waktu sendirian lalu berlinangan air matanya." (Hadis sahih riwayat Muslim)













Saturday, May 7, 2011

Selamat Hari Ibu

Inilah emak saya yang murah dengan senyuman :)


Tiada apa yang saya mampu ucapkan  selain syukur Alhamdulillah ke hadrat Ilahi di atas pemberian istimewa seorang emak disisi. Pemilik nama Asnah Binti Ismail sebagai pelengkap hidup saya.

Emak,  pentarbiyahan pertama saya,

Cekal membesarkan saya, adik, abang serta adik beradik yang seibu lain bapa, seayah lain ibunya dengan penuh kelembutan dan kesabaran.

Walaupun saya sudah berumahtangga,

Emak saya selalu menemani saya dan berada serumah dengan saya seperti dahulu. Saya suka mak saya duduk dengan saya saya lama-lama.

Emak, membesarkan kami adik beradik tanpa bimbingan ayah disisi setelah dijemput Ilahi.

Ayat yang menyentuh saya bila saya diuji musibah yang sangat meruntun jiwa saya.

“ Emak rela hidup susah tapi mak tidak akan biarkan anak mak yang susah ” .

Ucapan ini hanya terbit dari bibir seorang ibu yang menyayangi anaknya sepenuh hati.

Saya percaya semua emak yang ikhlas hatinya mempunyai  perasaan yang sama.

Dan faktor inilah saya rela berkongsi kesusahan dengan insan terdekat dengan saya kerana bimbang kerisauan yang keterlaluan tatkala mengetahui saya mempunyai sedikit masalah.

Tidak berniat memperlekehkan sumbangan bapa tapi itulah hakikat sebuah kehidupan bekeluarga.

Ibu lebih berjiwa terhadap anak -anak  .

Bapa juga memainkan peranan yang penting juga :)
( Jangan marah bapa-bapa penulisan khas buat bapa akan dikeluarkan juga nanti  bila hari bapa kunjung tiba )

" Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)". [Luqman 31:14]

Jom pembaca semua kita saling mohon maaf pada mereka

Dan maafkan kesalahan mereka supaya melembutkan hati kita dan jauhkan kita dari dendam kesumat dalam dada

Dan yang paling penting kita harus membalas budi mereka dengan kebaikan yang tiada hentinya

Dan wajib mendoakan ibu bapa kita dimana jua mereka berada selagi mereka hidup ataupun sudah tiada
Semoga kita menyayangi ibu kita seadanya.


Tanpa ibu siapalah kita…

“ Mak , cek sayang kat mak”. 4 patah perkataan pada emak saya sempena hari ibu sedunia.. 

saya & emak . Sama tak muka kami  :)


 Hihihi tersenyum mak membaca entry ni.

Kepada semua ibu-ibu. Semoga kebaikan dan kesabaran anda sepanjang memegang gelaran ibu dapat membahagiakan anda dunia dan akhirat amin.

Monday, May 2, 2011

Bermula dengan senyuman, hiasi kebaikan akhlak



Suatu ketika dulu, saya terlibat dengan program anjuran Perkeso untuk semua bakal pelajar PMR dan SPM. Disana kami diberi pelbagai tips semerlang dalam pelajaran, qiyamulai dan sukan. Waktu itu saya berusia 15 tahun.
Saya ditempatkan dengan 3 orang pelajar yang berlatar belakangkan kehidupan serba berbeza. Hanya satu persamaan yang nyata kami menjalani kehidupan remaja tanpa kasih seorang bapa .
Sepanjang saya  berada di sana, Qiyamulai tidak sangat terasa. Mungkin sebab buat tanpa apa-apa rasa. Kena paksa!.

Dan dihujungnya kedengaran ratusan jeritan tidak  menyentuh hati saya. Saya dan seorang pelajar sangat mahal airmatanya. Mungkin kerana ayah saya meninggal semasa saya masih kecil dan dia pula meninggal semasa berada dalam kandungan ibunya selama 2 minggu. Jadi kami kurang penghayatan bila speaker memprovokasi kami dengan kisah sedih untuk semua pelajar menangis.
Namun saya tertarik dengan peribadi seorang kakak, pemakaiannya sangat mempersona,sentiasa berbaju kurung dan t shirt lengan panjang.( masa tu mana ada t shirt muslimah lagi )
 Tutur katanya sangat terjaga dan lembut berbicara. Tidak sesekali pun, telinga saya terjamah dengan suara yang kuat atau sindiran yang sinis. Walaupun kami semua orang utara. Sindiran menjadi salah satu budaya dalam menyampaikan ayat pelbagai cara dengan menggunakan  bahasa yang sama.
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu saling benci-membenci, dengki-mendengki dan sindir-menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya “(HR. Muslim)
Senyuman tak lekang di bibir. Raut wajah sangat biasa tapi ketenangan jelas terpancar pada sesiapa yang memandang. Saya bukan pemuja manusia, apatah lagi saya juga seorang wanita . Namun kehadiran seorang kakak yang tiada pertalian darah memberikan anjakan paradigma pada diri saya . Pertemuan pertama dan yang terakhir bagi saya meninggalkan seribu makna. Menjadi cetusan saya untuk mencari keindahan pada agama selain dengan kesungguhan doa saya nak jadi baik dan rahmat Allah menjaga saya sentiasa di mana jua berada.
Satu perkara yang menyentuh hati saya. Dia selalu menuturkan Allah dimana jua berada dan apa jua perbualan kami bermula. Dia mempunyai AKHLAK yang baik walaupun kehidupan dia serba kekurangan dan diselubungi masalah keluarga yang tak berkesudahan. Sehinggakan saya selalu mendampingi kakak ni kerana rasa sangat bahagia sepanjang di sana.
Walaupun kakak ni tidak sempat berkhutbah pada kami,  tidak memberikan tips-tips cemerlang dalam pelajaran. Keberadaan akhlak yang baik sangat memotivasikan diri untuk menjadi sepertinya atau baik dari itu.
Di layar cerekarama pun watak utama yang baik lebih di puja berbanding dengan watak antagonis. Namun realiti kehidupan manusia lebih biasa dan memilih watak antagonis yang lebih mencabar perwatakannya di alam nyata berbanding watak baik .
Senyuman susah nak terukir dan bersyarat. Bila kita bertemu dengan orang yang dikenali, orang berjawatan lebih dari kita atau kita gembira barulah kuntuman senyum terukir.
Walhal senyuman adalah sedekah yang paling senang dilakukan tanpa menggunakan tulang riang yang lain.
Bila diri menginjak dewasa , Saya lebih mengenal erti akhlak yang baik. Teringat pada kakak yang saya sudah lupa namanya kalau tidak mesti dapat dicari dalam facebook.
Akhlak Rasulullah adalah akhlak  yang terindah dan patut dikagumi oleh seluruh umat manusia.
Benar, Akhlak yang baik  susah dijaga dan pelihara. Berteori lebih mudah berkata berbanding realiti kehidupan sebenar.
Sejajar dengan kesan dan ganjaran dunia dan akhirat yang diberi kelak.  
Mari sama-sama menjadi seorang yang berakhlak baik.
Abdullah bin Al-Harist Radliyallahu’anhu menuturkan, yang ertinya,”Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah Shallahu ‘alaihi wa Sallam “. (Riwayat At-Tirmidzi)
Al-Husein Radliyallahu’anhu, cucu beliau, menuturkan keluhuran budi pekerti beliau. Ia berkata,” Aku bertanya kepada Ayahku tentang adab dan etika Rasulullah Shallahu ‘alaihi wa Sallam terhadap orang-orang yang bergaul dengan beliau. Ayahku menuturkan, ‘Beliau Shallahu ‘alaihi wa Sallam senantiasa tersenyum, budi pekerti lagi rendah hati, beliau bukanlah seorang yang kasar, tidak suka berteriak-teriak, bukan tukang cela, tidak suka mencela makanan yang tidak disukainya. Siapa saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan siapa saja yang memenuhi undangannya pasti akan senantiasa puas…..” (Riwayat At-Tirmidzi)

“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasululah itu suri tauladan yang baik bagimu.” (QS. Al-Ahzab : 21).

Saturday, April 30, 2011

Belajar Berahsia BUKAN MENIPU

Kehidupan kita sangat menuntut kita untuk melebarkan sayap perhubungan silaturrahim  di kalangan kita dengan panduan syariat. Sama ada sesame keluarga, jiran tetangga mahupun kenalan di tempat kerja.
Malah dalam Islam, memelihara silaturrahim sangat dianjurkan dan digalakkan
“Siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, hendaklah ia memelihara hubungan silaturrahim”.(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun sayangnya banyak perkara yang membantutkan niat murni kita dan orang lain untuk memanjangkan silaturrahim kerana persepsi kita  atau penceritaan kita pada seseorang berikutan dia mempunyai sedikit kisah silam.
Kedengaran dialog dialog berlegar-legar menyinggah di telinga kita
“ Ala, bakal abang ipar aku tu ,  keluar masuk penjara macam masuk hotel”
“ Mak, macamna abang long boleh tahu semua kisah konflik mak dan pak da”. Kak long dengan abang long kan baru jer kahwin.
“ Malasla nak buat baik dengan dia lagipun bini aku dah bagi tahu siang-siang adik ipar aku macamna”
“Ala, bini aku cakap bapa mertua aku boleh tahan waktu muda-muda dulu”
“ Cikgu baru tu,, aku dengar dia kat sekolah lama ada kes”
“ Dulu dia kat sekolah lama dasyat, habisla budak kelas kita”
“Ko tak tahu perempuan ni dulu macamna, entah-entah dia pura-pura jer”
Bila kita mendedahkan kekurangan atau keburukan seseorang  sebelum dia berjumpa orang tersebut. Gambaran buruk akan dilukis pada perjalanan perhubungan tersebut tanpa disuruh oleh tukang cerita.
Sukar nak BERAHSIA untuk  menjaga aib orang lain, kita memilih untukk  berterus terang, tak nak hipokrit macam-macam la ayat untuk menghalalkan cara ini yang konon-kononnya berniat baik dan murni
Oleh itu  ramai yang mengiktiraf perhubungan suami isteri adalah zon tanpa rahsia. Sehinggakan ramai isteri tanpa disedari memalukan keluarga sendiri, konflik dalaman sanak saudara, kisah silam  sahabat-sahabat sebagai sajian telinga sambil minum-minum petang.
Couple yang tiada rahsia antara kita. Dari A sampai Z kisah diri, keluarga dibukukan pada pemikiran pasangannya seawal bibit bibit perkenalan
Sahabat baik terlalu transparent berterus terang semuanya.. ( Part ni la saya selalu terlibat (orang perempuan ) kerana selalu bersembang sehingga lupa tekan brek )
Nah, pastinya si pendengar tadi akan dapat gambaran tersendiri , walaupun si tukang cerita memberi peringatan
“ Abang jangan pulak tidak tegur dia lepas ni”
 “saya bukan apa takut abang lupa , mak saya macam bla, bla , bla”.
Dan hasilnya
“ Takutla nak pergi rumah kakak aku”
“ Aku tak leh blah, bila dia nasihat aku”
“Ala mak dengan ayah pun apa kurangnya dulu sebelum pergi umrah”
“ Akak pun bercinta sakan juga dulu, sama jugak macam saya”
" Dia dulu kat sana lagi teruk"
Jadi, bila sesuatu yang buruk didedahkan terlebih awal tanpa pertimbangan ( namun ada juga waktu yang dibenarkan  untuk mengelakkan kemudharatan seperti yang terdengar dalam kes perbicaraan di mahkamah dan lain lain)
Kalau tuan punya badan membenarkan sebagai teladan ataupun kita memberitahu minta izin dulu lainlah bunyinya .
Jadi  kita kena cuba Elakkanlah. Walaupun kita rasa baik. Kuatir dan bimbang  emosi didahulukan , kewarasan dibiarkan kebelakang. Keimanan tak tahu dimana tempatnya apabila kesedapan mengadu domba dijamah selalu.
Bukan disyorkan menipu, tapi BERAHSIA dahulu. Jaga aibnya .
"Barang siapa melepaskan seorang mukmin dari kesusahan hidup di dunia, niscaya Allah akan melepaskan darinya kesusahan di hari kiamat, barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit niscaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Barang siapa menutup aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan menolong seorang hamba, selama hamba itu senantiasa menolong saudaranya. Barang siapa menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan baginya menuju surga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca Kitabullah dan mempelajarinya bersama-sama, melainkan akan turun kepada mereka ketenteraman, rahmat Allah akan menyelimuti mereka, dan Allah memuji mereka di hadapan (para malaikat) yang berada di sisi-Nya. Barang siapa amalnya lambat, maka tidak akan disempurnakan oleh kemuliaan nasabnya."(HR Muslim)
Setiap insan pasti ada sisi kebaikan, keburukan dan kesilapan. Kalau selalu disuluhkan keburukan lalu, maka  teranglah kisah keburukan maka kaburlah kebaikan dek sirna dek ceritera lalu.
Supaya kalau kisah lalu terdedah bukan dari mulut kita ataupun dimulakan oleh kita
Jika terbongkar juga positifkan ruang yang ada, untuk mengecilkan sangkaan buruk.  Dan tidak menjadikan kita dan sesiapa saja mendahulukan tanggapan buruk  dalam erti kata lain bersangka baik selalu.
Ruang perubahan pasti akan terpancar jika niat , kehendak dan kemahuan diutamakan.
Supaya kita dapat positifkan semula kebaikannya ke atas kesalahan dan kesilapan yang lalu.
Siapalah kita untuk menghukum kesalahan orang. Mendominasikan keburukan di seluruh ruang kebaikan sehingga tiada ruang taubat dan perubahan kea rah penambah baikkan
“Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya. ( H R Tirmizi )
Janganlah menutup ruang silaturrahim, memendekkan atau seumpama dengannya kerana Syaitan laknatullah pasti gembira memecah belahkan silaturrahim kita sesama saudara.
“Janganlah kalian saling mendengki, dan janganlah kalian saling membenci, dan janganlah kalian saling berkata-kata keji, dan janganlah kalian saling menghindari, dan janganlah kalian saling meng-ghibbah satu dengan yang lain, dan jadilah hamba-hamba ALLAH SWT yang bersaudara.  ( HR. Muttafaq `alaih )
Dari Jubair bin Mut’im r.a  Rasulullah S.A.W bersabda “ Tidak masuk Syurga Pemutus Silaturrahim .”( Riwayat Bukhari dan Muslim)
selepas ini jom kita minta maaf pada sesiapa yang terbabit dan jangan menjadi perosak silaturrahim pada sesiapa pun.
Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik r.a, pembantu Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam dari Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam, beliau bersabda: Tidak beriman salah seorang diantara kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.(Riwayat Bukhari dan Muslim)



Tuesday, April 5, 2011

Ayuh! Lukiskan cinta di langit kehidupan….



Tatkala hati merasa riang
Dimana Allah kita tinggalkan
Saat hati hancur bersepaian
Kedekatan Allah jelas dirasakan.

Pemilik daging bernama hati
Jujurlah dalam menyintai dan mengasihi
Supaya tidak tertipu dengan duniawi
Tewas pada syaitan yang sepatutnya dimusuhi
Tanpa jemu membisikkan hasad, iri hati
Bongkak dan lupa diri
Agar kita langsung  tidak kenal diri
Apatah lagi yang sepatutnya kita cintai
Pada yang senantiasa mencintai
Pencipta diri kita ini

Ayuh, lukiskan cinta di celahan awan
Disaksikan langit  nan kebiruan
Agar hati yang rawan menjadi tenang
Ketakutan pudar di sebalik bayang
Jaminan  dan teguran Allah bukan alang -alang
Sedarlah kita, sentiasa dicintai di segenap ruang
Diperhati dengan  ribuan sisi pandangan
Tanpa sedikit kelukaan mahupun kezaliman
Memberi cinta tanpa syarat dan pilihan
                                                    
Nikmat apakah lagi yang mahu kita dustakan?

Sabda Rasulullah SAW.: "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api".  (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim )

Thursday, March 31, 2011

Memahami dulu baru difahami…..

Kisah 1

 Suatu hari saya didatangi oleh seorang pelajar.

"Cikgu, saya nak berhenti sekolah!" terkejut saya mendengar pernyataan itu. Saya melihat wajah sungul pelajar tersebut dengan penuh kehairanan lalu bertanya kembali "Kenapa nak pindah?” dengan linangan air mata dia berkata "Saya tak mampu nak hadapi hari esok, dia ugut saya nak bocorkan rahsia saya pada kawan sekelas sebab saya bergaduh dengan dia. Saya malu dan takut cikgu."

Saya tersenyum secara spontan. " Cikgu! Kenapa cikgu senyum , saya tahu perkara ini kecil bagi cikgu, cuba cikgu jadi saya mesti cikgu akan rasa benda yang sama." Saya terus memujuknya “ Ok cikgu cuba memahami kamu yer”.

Saya cuba mengimbau kenangan lama. Cuba untuk mengimbas kembali pemikiran dan kehidupan saya ketika usia mencecah 13 tahun. Mengecilkan diri dengan imiginasi untuk lebih menghayati isi hati perempuan yang berada di hadapan saya. Hmm ada kebenaran di sebalik kata-kata dia tadi.

 Dia menambah  "Cikgu dah besar ,mungkin perkara ini kecil bagi cikgu tapi bagi saya ia sangatlah besar, saya nak berhenti sekolah juga sebelum dia malukan saya." Saya membiarkan dia melepaskan kesedihan dengan penceritaan panjang tanpa titik. Mungkin itu dapat menenangkan emosi dia yang tengah bercelaru.

Ya, saya juga pernah dimalukan oleh teman sekelas dengan perkara-perkara yang memalukan saya seperti ejekan dan ugutan nak pecahkan rahsia bila bergaduh. Budak-budakla katakan. Itu modal yang paling laris untuk digunakan bila hati dah sakit , dendam pun mula seiring dengan emosi marah. Saya menghentikan lamunan saya bila terdengar deringan loceng rehat. “ Beginilah, jangan berhenti sekolah yer, cuba kamu bersabar sikit. Nanti cikgu bagi idea lain untuk tolong kamu”. Muka yang pada mulanya kelihatan sugul tampak sedikit bercahaya gembira. “ Ok cikgu , janji tau simpan rahsia baik-baik . Jangan bagitau dia , saya report kat cikgu!” saya tersenyum.

Kisah 2

Seorang anak berusia 7 tahun bertanya pada ibunya “ Ibu apa itu sex? “ Ibunya terasa sedikit kehairanan . “ kenapa  adik “. Anaknya terus berkata “ Jawabla mak, kalau tak adik tanya abang”. Alamak ibunya ada sedikit keraguan. Kalau ditanya pada abangya nanti salah pula faham. Ibunya pun menceritakan perihal sex dengan bahasa yang berbunga bunga pada anaknya.

Setelah habis bercerita, anaknya terus menangis kerana terkejut dengan pendedahan ibunya. Anaknya terus menjerit “ Ibu! dekat sini jawapan dia dua jer female / male . Kenapa ibu bagi jawapan panjang sangat macam tu?

Rupa-rupanya anaknya bertanya tentang sex= jantina untuk mengisi borang yang diberikan oleh guru. Sedangkan ibunya ingat anaknya bertanya tentang pendidikan sex. Ibunya baru sedar anaknya baru berusia 7 tahun . Pemikiran yang polos daripada perkara-perkara yang dewasa dari umurnya.

Kedua dua kisah ini saya editkan supaya menjadi contoh dalam kehidupan. Bila diri kita menginjak ke peringkat yang lain. Kita secara automatik akan terlupa bahawa kita pernah melalui fasa sebegitu suatu masa dahulu.

Dari alam kanak-kanak, alam tadika, alam persekolahan, alam remaja, alam masuk universiti sehingga berumahtangga dan bekeluarga. Fasa-fasa ini mengeluarkan kita dari pemikiran yang polos ke pemikiran yang penuh dengan kematangan sejajar dengan ilmu dan pengalaman hidup. Begitu juga dengan nikmat keduniaan yang kita perolehi daripada tidak mempunyai apa-apa sehingga memiliki pelbagai benda.

Namun bila kita di hadirkan masalah yang pernah kita lalui oleh orang lain kita lebih suka untuk difahami oleh orang lain dengan cara kita daripada kita memahami orang lain .

Mengharapkan si pendengar memahami kita sebagaimana pemahaman kita tanpa kita memahami dirinya terlebih dulu.

Melupakan perkara yang kita pernah tempuh suatu masa dahulu sepertimana mereka lalui.

Ibaratnya….

Pemimpin mengarahkan kita berjimat cermat dan belajar berniaga supaya lebih terancang kehidupan dan belanjawan negara. Sedangkan isi rumahnya terkenal dengan berbelanja mewah dan hidup dengan kemudahan yang melimpah ruah.

Orang yang berada di atas hebat dengan pengarahan sehinggakan hilang nilai kemanusiaan dan lupa yang dulunya dia bermula dari kerja bawahan. Memijak-memijak perasaan orang bawah sehinggakan terlupa persamaan aqidah yang tertulis dalam kamus kehidupan.

Ibu bapa memarahi anak-anak tanpa mengambil kira usia mereka, pengaruh rakan sebaya, kemajuan teknologi, kedangkalan ilmu agama dan kekurangan perhatian ibu bapa kepada mereka. Kadang kala mereka lupa dengan dosa mereka dahulu kala apabila melontarkan kemarahan melalui kata-kata yang pedih tanpa mempedulikan perasaan anak anak.

Guru memarahi anak murid tanpa memberikan rasional pada mereka dengan harapan murid akan faham dengan kemarahan bertempat guru tanpa mempedulikan ketidakwarasan anak muda yang semakin hari kian tipis imannya. Pelajar lebih bertemankan nafsu membungakan perasaan tatkalau usia mencecah alam remaja. Kemarahan tanda sayang kalau tidak disimpulkan dengan baik akan menyuburkan dendam kesumat di hati mereka.

Bos memarahi keraninya kerana lambat siapkan laporannya tanpa mengetahui bahawa anak buahnya sedang menghadapi ujian rumahtangga yang retak menantikan belah . Sedangkan ini kali pertama kerani ini lambat siap kerja di pejabat. Hilang semua ratusan kebaikan kerana tewas dengan satu kekurangan.

Sahabat yang semakin kurang perasaan kemanusiaan apabila sahabatnya meminta sedikit pertolongan tatkala diuji kesusahan kerana dirinya dimamah kemewahan harta benda dan kebahagiaan bekeluarga dan tengah berada di zon selesa. Sedangkan suatu ketika dulu dia dulu dibantu oleh sahabat2nya di zaman kesusahannya.

Seorang pelajar sekolah yang baru mengenal insan yang bergelar lelaki dan mula berkecimbung dengan dunia pergaulan menyulam bunga-bunga cinta, di provoke impian perkahwinan oleh kakak senior disekolah. . Sedangkan adik adik itu baru melangkah ke alam persekolahan. Hmm alamatnya pelajar tersebut matang dalam pergaulan tercicir dalam pelajaran.

Ayah mendesak anak tunggalnya menyambung bidang kedoktoran demi cita-citanya yang tidak kesampaian tanpa memperdulikan kemampuan anaknya dalam pelajaran .

Isteri yang asyik menyebut hak isteri tanpa mempedulikan hak suami kerana isteri lebih pandai dan banyak berbicara dan menang berhujah berbanding sang suami yang tidak ambil kisah.

Ada juga suami yang asyik berkempen ‘isteri harus menyelaraskan tindak tanduknya mengikut kesukaan suaminya tanpa diberi banyak pilihan’ sedangkan isteri penat bekerja sepanjang hari kerana berkongsi mencari nafkah untuk perancangan kehidupan masa depan.

Panjang lebar pula contoh diberikan. Saya rasa banyak lagi contoh yang sebenar kita akan alami sendiri dalam kehidupan. Kadang kadang kita perlu untuk memperlahankan kelajuan pemikiran mengikut keadaan, menguncikan kata- kata beberapa saat sebelum dilontarkan.

Kesimpulannya..

Jangan terlalu keras dengan ilmu, pemikiran dan pengalaman kita dalam kehidupan dalam setiap persoalan atau kejadian kehidupan insan lain dalam kehidupan.

Berhenti, Berfikir sejenak sebelum berterusan menyusun kata. Rehat seketika dengan menyelami perasaan agar nasihat, ucapan, kata-kata, tindakan dan perbualan kita tidak terlalu keterlaluan seiring dengan syariat dan zaman.

Jangan laju berkata sehinggakan mengikut perasaan , hampir hilang pertimbangan dan sangat memualkan untuk dijadikan panduan apatah lagi buat teladan atau pengajaran. Tajam menikam menusuk telinga menghentam pemikiran insan yang berdekatan.

Jadi, cuba untuk memahami dahulu seandainya ingin diri kita sendiri untuk di fahami. Insyaallah kita dan dia akan lebih memahami segala yang terjadi. Mencari kunci segala pintu permasalahan. Titik temu yang mendamaikan. Noktah kata yang akan mempersonakan .

Jangan terlalu taksub dan nak menang setiap kali dalam pertandingan di pentas kehidupan. Rendahkan hati dalam memberi pertimbangan. Raikan dengan memahami perasaan orang lain sebelum meminta perasaan kita diraikan. Berhenti sejenak dan renung-renungkanlah. Selamat beramal

" Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu ( yang bertelingkah ) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. "
Q.S Al-Hujuraat : 10

Monday, March 7, 2011

Buat sahabat yang dekat di hati. ( konflik rumahtangga )



broken marriage 
Sewaktu sahabat lain rancak  mengupload photo, mempromosi  gambar perkahwinan yang indah-indah, memaparkan aksi-aksi bahagia pasangan suami isteri di paparan skrin dan berkongsi kecomelan  anak di fb.
Sahabatku,  yang jauh kini diuji dengan sesuatu yang istimewa, yang tidak pernah terlintas di hati . Apatah lagi dari seorang pemilik hati yang bernama isteri yang sangat menyintai sang suami. Mengharapkan kebaikan dan kebahagiaan dalam sebuah ikatan  yang suci. Mengidamkan keluarga yang ideal seperti yang diimpikan  pada detik awal pernikahan terjadi.
Dulunya Pernikahan didirikan dengan penuh rahmah , mawaddah,  memberikan ketenangan selepas fasa bersendiri. Kita bersama sama berjuang  meloloskan diri dari ujian sebelum menempuh medan perkahwinan sehingga berjaya menjadi suami isteri.
Namun kini  Perkahwinan menghadirkan ujian yang luar biasa. Merentap hati menguji emosi. Ketenangan  yang dulu dirasai semakin mahal untuk dimiliki.
Disaat  menaip entry ini, Sahabatku kini diuji dengan kesakitan dalam kehidupan realiti perkahwinan.
Dan ada hampir pasti  TERPAKSA memilih sesuatu yang digeruni oleh semua pasangan .
Dan ada yang sedang mengalaminya sendiri dan sendiri dan masih tidak kelihatan kesudahan, kabur jalan penyelesaian terhadap kehidupan masa depan.
Sahabatku,
Tidak ada perkahwinan yang tidak didatangkan dengan sekumit masalah. TIDAK ADA! 

Setiap perkahwinan PASTI dihadirkan  masalah yang istimewa bersusun menanti. 

Yang di designkan sesuai dengan kemampuan penghuni rumahtangga tersebut.  
Sahabatku,
Kamu insan yang terpilih, ujian kita ( semua suami dan isteri ) hampir sama tetapi tidak serupa semuanya.
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
Surah Al-Baqarah ayat 286
Dan hanya pasangan yang terlibat mengetahui segala  masalah, punca selepas Pencipta Kita yang sentiasa memerhati bertemankan malaikat yang setia di kanan dan kiri berbanding orang luar yang tidak pasti apa yang sebenarnya yang terjadi.

Kita  sentiasa berdoa yang indah-indah sebelum berkahwin, semasa berkahwin mahupun selepas berkahwin.  Apatah lagi tatkala ujian semakin rancak terjadi.  Dan waktu itu doa kita semakin dihayati dan difahami.

Airmata tak mampu menterjemahkan isi hati yang tersembunyi . Hanya dengan rasa Allah di hati mampu memberi ketenangan yang berpanjangan dan kekal di hati sendiri di sebalik keperitan yang  terjadi.  Ayat-ayat suci dan zikir hati mampu meredakan sedikit gelodak yang tersembunyi dalam sanubari. Memberi jawapan terhadap soalan yang berlegar dan bermain di lintasan hati.  Menghuraikan kekusutan yang dialami. Menanti dari hari ke hari supaya esok indah dari semalam itu sudah pasti dinanti.

Sulit  untuk berkongsi segala yang terjadi dalam sebuah masjid sendiri apatah lagi berkongsi isi hati segala yang terjadi dari akar umbi.
Kamu, Aku dan semua isteri-isteri, kita semua sama sentiasa diuji, terus diuji dan selepas ini banyak lagi ujian yang  tersusun menanti. INGATLAH !
Sahabatku,
Allah hadirkan ujian ini tanda sayangnya pada kita sebagai seorang isteri. Memberi ruang untuk isteri mendapat pahala menanti yang tersembunyi.
Bersangka baikla pada Allah dengan ujian yang diberi. Walaupun kita di anugerahkan segunung kesedihan mahu pun selautan kepedihan memamah perasaan
 Ketahuilah segala hadiah dan anugerah dari Allah berupa kesedihan, kesakitan dan kepiluan pada hati.
 "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja)mengatakan: “Kami telah beriman,” sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." Surah Al-Ankabut ayat 2-3
Janganlah menilai kebahagian dan kegembiraan mengikut pandangan mata kita sendiri dengan keputusan yang diberi nanti.  Supaya tidak menyemarakkan kesakitan pada diri sendiri . Hanyut dengan alunan emosi . Larut dengan mimpi ngeri di malam hari. Tewas dengan mainan hati bertemankan sepi, berlagukan air mata mengalir di pipi. Aku khuatir waktu itu syaitan menjelma diri memainkan peranan tersendiri. Aku sentiasa doakan kamu dan aku dipelihara dari semua ini bila kita diuji.
" Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
Surah Al-Imran ayat 139
 Sahabatku,
Bentuk  apa jua ujian  yang di beri pastinya adalah usaha untuk meningkatkan darjat keimanan diri pemilik seorang isteri yang PASTI. Teruskan menanti dan menyambut segala yang diberi oleh Allah dengan rasa cinta dan kasih berkekalan selepas berakhirnya episod istimewa ini.
"….. Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal. Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arsy yang agung." Surah At-Taubah ayat 129
"….. dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir." Surah Yusuf ayat 87
Sahabatku,
SEMOGA UJIAN INI MENDEKATKAN KITA DENGAN CINTA ILAHI,  
USAI KESULITAN PASTI JUA HADIR KEBAHAGIAAN YANG DICARI,
ANDAI ALLAH BERTAKHTA DI HATI,    
BUNGAKAN KEIMANAN DISEBALIK KERESAHAN YANG TERJADI,
DUKA LARA DALAM DIRI PASTI AKAN BERLARI PERGI.

Terbaru

ORANG HEBAT UJIANNYA HEBAT.

Isu poligami dan penceraian memenuhi ruang maya. Ada yg pm dan mesej saya tanya sembang pasal ni. Macamnilah. Rahsia penghujung ke...

Penulisan Yang diminati ramai