Sunday, July 31, 2011

Nostalgia kanak kanak ( Warna warni Ramadhan & Aidilfitri )



Ramadhan bulan mendidik jiwa.
Alhamdulillah hari ini saya berjaya menghadirkan diri dan menjadi peserta dalam MESRA mengedarkan risalah Ramadhan pada tetamu yang mengunjung Tasik Shah Alam berdekatan dengan Masjid Negeri

Pengisian pagi yang bermakna selain dapat mendengar tazkirah Hanim di samping teman-teman solehah bertemankan Ukhti Nurul Adni & Abdullah yang comel. 

Alhamdulillah walaupun sekejap tetapi sangat bermakna untuk memotivasikan diri menyambut kedatangan Ramadhan Al Mubarak.

Didoakan saya & semua pembaca dapat meningkatkan iman ke tahap semaksima di kala permulaan & pertengahan Ramadhan yang semakin tenggelam dek syawal yang terlalu dinantikan.

Semakin berusia semakin hilang nikmat @ kegembiraan menyambut syawal  dengan pakaian serba baru berbanding zaman kanak-kanak, waktu itu saya lebih mendambakan syawal kunjung tiba tanpa pengertian yang bermakna.

Saya masih teringat zaman kanak-kanak tika Ramadhan menjelma, saya sangat teruja dengan bantuan dan sedekah yang diterima duit, baju raya, majlis berbuka puasa, beras dan macam- macam lagi disedekahkan untuk saya dan keluarga. 

Kenapa bagi pada saya? Jawapannya sebab saya dikategorikan sebagai anak yatim tidak berbapa.

Tanpa banyak soal saya menerima tanpa sebarang syak wasangka. Ada satu waktu di sekolah saya dipanggil untuk diwawancara sebelum layak menjadi si penerima. "mak bagi duit raya tiap-tiap tahun berapa? Saya cakap tiada, cikgu tu tak percaya. Mana mungkin saya berdusta pada bulan puasa. Saya pun takut dosa nanti sia-sia puasa dia terus bertanya kenapa? 

Saya pun bercerita mak saya cakap hari-hari dia bagi duit raya. Lagipun mak saya cakap bulan puasa saya dah kaya dari hari hari biasa. Cikgu tu terus ketawa. =) hati pun terus berkata-kata “apalah cikgu ni ketawakan saya". Berjenaka pulak dia, Rasa marah pun ada. Padahal cikgu tu hanya menjalankan tugasnya,kesian dia. Jangan marah yer cikgu. Saya pun dah pakai nametag cikgu hihihih

Tatkala ibu saya bersedih menanti Pagi Raya. Saya dan adik pula semakin melonjak gembira.Ekspedisi mengutip duit raya akan bermula. Hip hip hooray! 

Seawal pagi kawan-kawan, sepupu sepapat menanti di pintu rumah. Takut ada yang tertinggal, terasa, merajuk akhirnya meninggalkan satu nostalgia iaitu "merajuk di pagi raya" & muka berubah semacam cuka sampai seharian. Jadi kami pun menunggu sehingga cukup korum baru kami memulakan langkah.

Kami beraya dari satu rumah ke satu rumah. Siap perancangan lengkap lagi rumah mana kami bermula dan berhenti rehat seketika untuk menjamah kueh raya jika kami kehabisan tenaga.

Oleh kerana amalan ini menjadi acara tahunan jadi senang kami untuk mengatur segala-galanya. Tak cukup dengan poket baju kurung ada plak galas beg bersama. Hahaha macam-macam gaya.

Mujur time ni tiada kamera digital kalau tidak .Erm tidak dapat saya gambarkan betapa comotnya saya dan betapa hebatnya kami semua . Sampai ke petang kami mengutip duit raya. Letih bukan kepalang, penat tidak terkata.

Namun pengertian syawal pada zaman kanak-kanak hanyalah pada material semata-mata. Berakhir dengan pengiraan duit raya hingga acara kemuncak pada sebelah malamnya mengira jumlah duit raya. Selepas itu mulala sibuk bertanya.

Siapakah yang menjadi juara ? johan kutip duit raya.Yang pasti, tentulah bukan saya. Kerana saya tidak pandai atau bahasa yang lebih indah saya tak suka mengira, asyik salah saja!

Menziarahi pusara ayah amalan yang biasa, saya hanya tahu kematian bapa namun saya tidak merasa sesedih mana, kerana saya kehilangan abah ketika saya baru mengenal allif,ba, ta. Kadang-kadang sedih juga namun pada waktu itu perpisahan dan kematian belum lagi berjaya meruntun jiwa ( pada waktu itu la )

Saya tidak rasa kekurangan apa-apa. Cuma saya sedar abah sudah tiada bertemu pencipta.

Dan saya mula menanam keyakinan suatu hari nanti saya pasti berjumpa juga di syurga tapi entah tak tahu bila? ( pemikiran pada usia kanak-kanak )

Dan mak pula cuba sedaya upaya untuk memberi yang terbaik dalam kehidupan kami bertiga sedaya upaya.

Dari hari ke hari saya mula bertanya? Pertanyaan yang tiada kesudahan. Kehilangan ayah membuatkan saya menjadi ingin tahu rahsia kehidupan.

Namun soalan saya banyak dipendamkan kerana pada usia itu saya tidak petah berbicara dan tiada medan untuk seisi luahan rasa. Saat itu tiada sesiapa pun mampu memberi jawapan yang sempurna.Yang mengurangkan sesak di dada. Ketidaksempurnaan hidup dan ketidakadilan duniawi kian saya terasa ia seakan mengusik hati untuk mencari satu jawapan yang luar biasa.

Setelah umur kian meningkat dewasa, satu persatu kawan saya hilang dari pandangan mata. Malu mula menghiasi rupa & jiwa. Ramadhan mula mengisi jiwa & memberikan pengertian yang berbeza. Terawih menjadi amalan kami bersama sama. 

Seandainya saya melakukan apa-apa yang tiada makna, hati mula berkata, mesti Allah murka. Abah disana lagi kecewa . Itulah mainan kata-kata yang berdetik di lubuk jiwa tatkala diri terjerumus dengan kegiatan yang berdosa.

"ROBBIFIRLI WALIWALIDAIYA WARHAMHUMA KAMA ROBBAYANI SOGHIRO". Semoga Abah ditempatkan di tempat orang yang beriman. Amin ya Robbal Alamin

Friday, July 29, 2011

Sistem dunia tidaklah seindah mana...Berpaksikan Allah untuk mengindahkan segalanya


Buku "bestseller" bagus untuk di baca. Semoga Penulis buku ini diberikan Hidayah Oleh Allah. Amin=)

Selepas mendengar hasil pembedahan buku “ If you want to be Rich & Happy Don't go to school ”dalam satu perkongsian ilmu.

Jemari ini terasa melekat di keyboard untuk meluahkan sesuatu.

Buku yang sedikit sebanyak memperlihatkan kesan & keterbukaan dalam sistem pendidikan dalam kehidupan.

Ada yang menyalahkan sistem pendidikan menghasilkan kepincangan masalah di kalangan remaja.

Ada juga yang tidak mempersetujui silibus pendidikan di sekolah .

Ada juga yang bercakap- cakap dengan kesalahan kesalahan sistem pendidikan sekolah.

Ya, semua sistem yang manusia cipta pasti ada kekurangan.

Namun saban hari orang-orang yang berada dalam sistem pendidikan cuba melakukan yang terbaik dalam mendidik anak bangsa.

Apakah pilihan anda seandainya tidak bersetuju dengan pendidikan yang ada.

Tepuk dada tanya iman anda.

Bagi saya seorang pendidik yang berjiwa.

Pendidikan yang utama adalah apa yang terbentuk pada jiwa individu tersendiri.

Mempunyai Nilai Tuhan di hati, Nilai Islami

Mempunyai matlamat yang tersendiri, sekalipun dikelilingi sistem sistem yang memeningkan.

Sistem yang mampu menjanakan pemikiran yang terpelihara, bebas dari penjajahan minda.

Walaupun dibebani dengan pekerjaan, mempunyai banyak laluan kesakitan dari kegembiraan

Bukan untuk terus dihujahi akan tetapi cuba untuk hadapi & terus mencari solusi.

Nah, Inilah Tarbiyyah ( pendidikan ) dalam jiwa yang seharusnya disemai dengan suntikan pendidikan Aqidah yang satu.

Inilah pendidikan yang utama pada manusia yang berjiwa & berakal waja.

Orang yang merasakan sentiasa bersama Allah dan merasakan kebersamaan Allah dan para malaikat dalam semua perkara.

Berpaksikan Al Quran, hadith & sirah

Pasti tidak sewenang-wenangnya menyalahkan sistem pendidikan yang ada seperti bangau menyanyikan lagunya.

Sekali lagi , Sistem dunia dicipta oleh tangan manusia yang penuh dengan kekhilafan

Pasti tidak berjaya menenangkan hati sepanjang masa , hanya mampu mengenyangkan fizikal, mencantikan laluan manusia dalam masa yang sementara.

Sistem Politik, Sistem Universiti, Sistem Sekolah, Sistem Peperiksaan, Sistem Pemarkahan, Sistem Perbankan, Sistem jalanraya, dan sistem –sistem seantero dengannya pasti tertonjol kepincangannya jika itu yang dihighlitght oleh mata kita.

Jadi hadapi sistem yang ada dengan pertimbangan yang waras adalah lebih baik dari berkata-kata sahaja atau menyalahkan sebelah pihak.

Kalau untuk penambahbaikan & untuk diatasi bersama. Insyaallah pasti ada jalannya.

Yang kedua ialah Sistem pendidikan dari rumah.

Sistem yang di amalkan dalam rumah oleh penghuni yang berada dirumah .

Bukan sistem ketua rumah atau sistem suri rumahnya sahaja. Sistem amalan semua penghuni rumah yang terjadi dalam rumah. Sistem ini bakal membentuk perwatakan & akhlak , pendidikan sivik dalam banyak perkara.

Sistem ini berkait rapat dengan keperibadian, kebijaksanaan & keperihatinan ibu bapa kepada anak-anak.

Tidak hanya mementingkan material atau kesenangan seisi rumah tapi ia berkait juga dengan hubungan semua dengan Allah supaya hubungan dengan seisi rumah bakal terjaga.

Kekurangan sesuatu dalam keluarga akan terlihat hasilnya dengan perangai istimewa di dalam sekolah.

Anak bermasalah di rumah buat hal di sekolah.

Ini tidak bermakna semua ibu @ bapa harus berhenti kerja untuk memfokuskan segala perhatian kepada pembesaran perkembangan kanak-kanak sehingga menjadi golongan ‘over protected’.

Di sekolah ibu bapa menghantar anak-anak dengan harapan yang tinggi, namun di rumah bagaimana?

Ramai yang memilih menghantar anak di Tahfiz, MRSM, Sekolah Agama, berasrama penuh, sekolah kelas pertama tapi menidakkan agama apabila mereka kembali menyangkut uniform sekolah di rumah.

Di rumah lagaknya seperti raja, keberadaannya di rumah tidak digunakan sepenuhnya. Tidak ada sistem langsung di rumah. Soal disiplin tidak dijadikan budaya di rumah.

Apakah mereka mampu mempertahankan perwatakan yang baru dibentuk di sekolah.

Pastinya sukar sekali. Kerana timbul perbezaan suasan di rumah & di sekolah.

Kekeliruan identiti, meneladani contoh di rumah atau mengamalkan teori & amalan dari sekolah

Perkara inilah yang menghasilkan lambakan pelajar-pelajar bermasalah di sekolah yang sepatutnya menghasilkan orang yang beragama dan bermanfaat pada semua.

Dan membuatkan orang macam saya stess saja.

Saya percaya ramai cuba ibu bapa cuba mengorak langkah bersama-sama anak-anak ke persekitaran yang membina keperibadian mukmin. Alhamdulillah. Inilah yang kita doakan & harapkan.

Kehadiran pelajar yang didik di rumah melancarkan perjalanan seorang pelajar & menyenangkan pembelajaran guru di sekolah

Mengecilkan jumlah fail disiplin di sekolah

Mengurangkan surat-surat amaran untuk di pos ke rumah

Saya percaya semua yang membaca ingin menjadi penduduk di Taman Syurga.

Pada pelajar saya, semoga anda faham penulisan saya.

Pada pembaca yang dirahmati ALLAH.

Jom kita kumpulkan keazaman untuk mengorak ke depan dalam ibadah kita

Jadikan Ramadhan kali ini sebagai motivasi kita.

Titik perubahan untuk berubah. InsyaAllah.

Sunday, July 24, 2011

Buat ukhti

Kerana dirimu begitu berharga
pantas aku melayangkan isi hati yang selama ini tersembunyi

Ukhti yang sentiasa dekat di sisi,

Ketika aku & yang lain masih berjuang mencari sesuap nasi untuk hari esok
Allah memudahkan suapan nasi sampai di mulutmu

Ketika aku & yang lain berkira-kira untuk melangsaikan hutang
Allah menghadiahkan dirimu ekonomi yang utuh untuk hari esok & esok

Ketika aku & yang lain bertatih-tatih dalam pemilikan harta
Allah memberikan segunung emas dalam pelukanmu

Ketika aku & yang lain menghadapi fasa mencari ilmu
Allah menemukan mu dengan pemilik perpustakaan idaman

Ketika aku & yang lain menunggu dimanakah destinasi kita hari esok
Allah menyayangimu dengan memberi destinasi dunia yang indah nan permai

Ketika aku & bergelut dengan emosi dalam kerjaya sendiri
Allah specialkan dirimu untuk menjaga emosi diri & family sendiri
Agar lebih terpelihara kehidupan yang nak dituju.

Ketika aku & yang lain menunggu umur bersama sinar rezeki
Allah awalkan nikmat rezeki berbanding usiamu

Ketika aku yang lain mengharapkan cahayamata
Allah hadirkan si comel indah penyeri rumahtangga
 
Ukhti yang sentiasa dekat di sisi,

Aku tahu kamu mempunyai sekeping hati yang berbeza dari kami

Lantas Allah designkan ujian yang special untuk ujian pada dirimu
 
~ “Setiap yang berjiwa pasti akan merasakan mati, dan Kami menguji kalian dengan kejelekan dan kebaikan sebagai satu fitnah (ujian), dan hanya kepada Kami lah kalian akan dikembalikan.” (Al-Anbiya`: 35)~

Semoga ketakutan kematian.

Ketakutan Azab menjadi pemilik tiket ke neraka

Mampu mengembalikan dirimu di puncak keimanan seperti dahulu

Malah lebih lagi ku kira kau mampu melunjur laju

Kerana kamu mempunyai izzah yang terpelihara

Ilmu & pengalaman di dada

Bukanlah dimiliki dengan mudah

Luput pada tarikhnya,terbang hilang begitu saja

Ukhti yang sentiasa dekat di sisi,

Kembalikan kilapan iman ada yang sudah di hati

Bingkas bangun dalam kegemilangan kesihatan diri

Bangkit dalam kenikmatan Harta yang dimiliki

Jaga dalam ujian kenikmatan & kesenangan

Hadirkan semangat juang Hartawan Islam

sepertimana pejuang yang berdakwah dalam kekayaan duniawi

Mampu dijadikan motivasi pada ukhti saban hari

Agar tidak berkubur dengan kesenangan yang diberi

Ukhti yang sentiasa di sisi,

Maaf dari hati seandainya pena ini tidak disenangi

Aku jua memerlukan nasihat untuk menjaga makanan ruhani

Alhamdulillah, Terima kasih Allah kerana menghadiahkan UKHTI pada kami

Untuk sama-sama berlari mencari cinta Ilahi.

Saturday, July 23, 2011

KL Gangster wanna be.

FIlem KL gangster...
Saya bukanlah seorang pengkritik filem . Ini tidak ada kaitan dengan sesiapa di alam realiti. Cuma ada kaitan dengan watak-watak yang ramai pelajar saya minat & sanjungi dalam filem-filem favourite mereka.

Sibuk dengan kerja sempat juga  saya luang masa menonton drama melayu & filem melayu di youtube @ di rumah ukhti nurul bersama nana.

Ternyata impak sesebuah filem akan terpalit pada hati anak muda. Lebih-lebih filem memaparkan kehidupan sosial yang tinggi, selain filem hantu yang semakin berhantu di televisyen & panggung.

Filem genre begini  biasanya menghidangkan dialog-dialog power, kasar, klise & senang menjadi ikutan remaja di luar sana.

Kata bualnya juga cepat meresap dalam jiwa muda mereka. Belum habis fenomena realiti Lawak & filem seram. Hadir kembali fenomena gangster yang tidak berkesudahan.

Penulisan ini tidaklah bermaksud anda tidak boleh langsung menonton filem melayu. Cuma luahan hati saya pada penonton-penonton kecil dibawah umur 18 tahun.

Tarikan filem ini sangat besar. Filem ini telah menciptakan fenomena perfileman melayu kerana kutipannya mencecah RM 12 juta.


Di sekolah pula ramai betul watak-watak tambahan terus melakunkan watak tanpa dibayar oleh mana-mana syarikat perfileman walaupun tayangan filem ini di panggung sudah habis tayangannya.

Seingat saya sewaktu saya praktikal di Sekolah Menengah Seksyen 19, saya pernah dikenakan oleh pelajar.

Mereka menghantar lukisan dengan menamakan diri mereka dengan nama-nama watak dalam filem REMP-IT . Erm..Sabar jer lah waktu tu.

Mereka menulis nama di belakang kertas lukisan nama Spark , Macha , Madhi la. Bila saya panggil semua ketawa . Mentang-mentangla saya hanya cikgu praktikal.

Dan sekarang, ada kelas-kelas tertentu ( pelajar lelaki ) memainkan semula babak-babak menarik dalam kelas tanpa kawalan seorang pengarah filem.

Maka muncullah Malik junior, Jai junior, King junior, Shark junior & watak -watak seangkatan dengannya.

Rasanya dialog di dalam tu cukuplah gangster-gangster yang guna ataupun pelakon yang melakonkan watak gangster mengikut skrip diberi.

Yang bukan dari golongan tersebut tak payahla praktik kan dalam perbualan harian. Apatah lagi dengan adik beradik, kawan-kawan, ibu bapa @ guru.

TAK SESUAI PUN.  Dengan kawan sekelas pun tak payahla guna yer. Sakit telinga orang lain dengar.

Kasar bunyinya, Ada double meaning pulak tue.Bahaya-bahaya.

SEKALI LAGi saya ingatkan sangat segala bentuk perbualan dalam filem ini tak sesuai nak diikut dalam kehidupan harian sama ada  di sekolah atau di rumah yer.

Tengok drama @  filem ambil lah pengajaran yang baik. Yang buruk tu jadikanlah teladan supaya kita tidak mencopy kehidupan seperti itu dalam kamus kehidupan kita.

Lakonan di paparan skrin bukan semua sesuai untuk kita aplikasikan dalam kehidupan realiti.

Jadilah penonton yang matang dan waras.

Jangan menambahkan bilangan gangster di muka bumi yer duhai pelajar-pelajar sekalian.

Jadilah pelajar yang baik akhlaknya.

Merasakan adanya ALLAH  di jiwa kamu semua.

Jadikan kata-kata yang baik sebagai amalan harian kita

Budi Bahasa Budaya kita

Kerna kata-kata juga sebahagian dari doa.

Renung-renungkan & selamat beramal.

ps: Semua guru sayangkan anak muridnya... :)

Monday, July 18, 2011

Jaga bait bicara



Bukan semua perkara dapat diselesaikan dengan BERCAKAP.

Ya, saya mengakui kebenaran & kepentingan bercakap untuk permulaan merungkaikan permasalahan

Kasih & cinta juga perlu diluahkan dengan bercakap

Tapi harus diingat terjadinya persengketaan juga dimulai dengan bercakap

Terbitnya kesombongan bermula dengan percakapan

Terjadinya penghinaan juga gara –gara ketelanjuran percakapan

Munculnya dendam kesumat jua dalam hati juga dimulakan dengan sebuah percakapan yang menghiris jiwa.

Timbul juga sikap takabbur dan riak mempamerkan kemegahan kuasa & pangkat dan beza dapat dikesan dalam percakapan seseorang.

Mengadakan Pameran perkahwinan yang bahagia pada khalayak melalui percakapan jiwa bertemankan keyboard & skrin di alam maya.

Mewarwarkan kesempurnaan ekonomi dalam kehidupan angkara percakapan yang berlebih-lebihan bersama teman-teman setia.

Ada yang berkata bukan semua yang jahat di mulut keluar dari hati yang jahat.

Hmm, soal hati sangat subjektif & kompleks sukar untuk terjemahkan dalam bicara pena.

Kalau kita seorang yang sangat berhati-hati soal menjaga hati orang lain.

Rasanya tak akan terkeluar percakapan yang menghiris rasa pendengar Kan?

Ketahuilah pembaca,

“ Tidak akan masuk syurga seseorang yang dalam hatinya ada sikap takbur walaupun sebesar debu” ( HR. Muslim)

Jadi sempena bulan syaaban ni

Bulan sebelum bulan Ramadhan yang kita nanti-nantikan,

Jom kita berhati-hati dengan percakapan.

Fikir dulu sebelum bercakap.

Letakkan termometer iman

Untuk sukat kepanasan & kelaseran kita dalam berbicara

Tak kisahla siapa pun dia pada kita

Jangan bercakap sesedap rasa mengikut jiwa

tanpa mempedulikan telinga - telinga yang mendengar

Sedarlah,

Hati-hati lain yang mempunyai rasa & jiwa

Malaikat yang sentiasa akur dengan PerintahNya sentiasa mencatat jua

Bercakaplah seperti orang yang mempunyai TUHAN di jiwa

Berbicara dengan Kehadiran Allah di hadapan kita.

Kelihatan Syurga & pahala dalam dada kita.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata perkara yang baik atau diam. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah ia memuliakan tetamunya."
(Mutafaq 'alaih)

Wednesday, July 13, 2011

Membaiki Iman di Hati dengan solat di awal waktu


Usia semakin meningkat namun nilai ketakutan nasib di Akhirat kadang-kadang datang & pergi. Bila urusan dunia hadir silih tak berganti dari hari ke hari.

Ya Allah susah sekali memegang momentum keimanan di level yang selesa .

Seingat saya semasa saya memakai kad matrik , perjuangan diri begitu berani & berhati-hati.

Kekebalan hati dengan nafsu sunggguh terzahir sekali , namun bila keselesaan mendekati diri.

Nilai mujahadah semakin susut sekali.
,
  Ya Allah , selamatkanlah Hambamu ini.

Benar sekali perkongsian seorang teman, ujian kesenangan, kemewahan & kesenangan lagi merbahaya dari ujian kesakitan & keperitan.

Jadi saya cuba memulakan kembali mendetect kekurangan amalan & punca kerunduman iman

Perbaharui niat hari ini semula. Sangat penting tue, pada semua yang membaca

Segala amalan tergantung pada niatnya.

Pastikan semua perbuatan di jaga niatnya jangan biarkan lintasan hati yang jahat menghentikan aliran pahalan dalam buku catatan kita. JANGAN BIARKAN IA TERJADI segera istighfar bila ia terjadi sebelum lintasan hati menjadi sebati di hati sendiri.

Kemudian berazam solat di awal waktu !

Kerana Solat amalan pertama bakal di hisab.

Kalau nak solat di awal waktu mestilah kena menunggu waktu solat kan
.
Apa kata kita hayati sedikit perkongsian solat di awal waktu ni.

Abu Musa ra mengatakan bahawa Rasulullah saw bersabda:
"Orang yang paling besar pahala solatnya ialah orang yang paling jauh (dari Masjid). Dan sesudah itu ialah orang yang menunggu-nunggu waktu untuk solat sehingga ia solat dengan imam, lebih besar pahalanya daripada ia solat (sendiri) kemudian tidur." (Bukhari)

Faedah solat di awal waktu :

1) Dapat solat di awal waktu, Saf hadapan ( amalan yang terbaik ) dalam solat berjemaah .

سيل النبي صلى الله عليه وسلم أي الأعمال أفضل , قال الصلاة لأول وقتها (رواه الترمذي)
Ertinya: " Ditanya Nabi SAW , apakah amalan yang terbaik, maka jawab Nabi : Solat diawal waktu ( HRiwayat At-Tirmidzi dan Abu Daud, Albani : Sohih )

2) Lebih khusyuk- Bila lebih bersedia mestilah kita dapat menghilangkan kerisauan pada kerja duniawi yang semakin bertambah rumitnya dan bertambah bilangannya

3) Lebih afdal – kerana satu persiapan yang menunjukkan kita lebih bersedia dating @ online dengan Allah Azzawajalla

4) Menjaga kualiti solat- Ya, ini yang penting. Kerana kualiti solat kita akan mentransferkan kita kepada akhlak yang baik
.
Insyaallah jika kualiti solat bagus , pasti kita lebih mudah menerima ilmu agama, tunduk kepada hukum agama dan berhati-hati dengan urusan dunia yang penuh dengan tipu daya.
.
Supaya solat kita dapat menjadi benteng & menakutkan kita untuk melakukan kejahatan
.
“  Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (al-Ankabut: 45)


Tuesday, July 12, 2011

Hati yang dirawat lukanya

Ya Allah bantulah kami menjadi hamba yang Ikhlas dan bersabar, bersabar dan terus bersabar.


Kalau tidak kerana syurga

aku akan memilih untuk keluar dari jalan ini

Berhenti meleraikan kekusutan diri merentasi kemelut kehidupan 

Segala kesakitan yang dirasai ini

segala kepenatan yang kunjung pada tubuh tak silih berhenti 

kesedihan, kekecewaan sentiasa menjadi pembuka tirai dari hari ke hari


Aku kaburi mata ini

Aku biarkan jauh di sudut ruang hati

agar mata hati akan menghembur tinta kesabaran

tatkala bahang api kemarahan mula dirasai

ketenangan mula dicabar dan semakin bergelora

panahan syaitan meronta –meronta ingin memasuki ruang yang ada

menyesakkan lagi  ruang iman  di dada.


Dan disaat itulah hati ini mula berbicara..


Duhai pemilik jiwa kecil ini 

Janganlah memilih sesuatu yang biasa

untuk mendengar suara hati yang semakin meminta simpati

untuk tubuh yang merintih meminta dijagai, pada nafsu semakin mendesak dituruti 

merayu agar kehendaknya diikuti 


Aduh perit sekali untuk memuaskan bahasa jiwa dan raga.


 Ya Allah Pemilik Sekalian Jiwa

Tetapkan aku di jalanMu


Wahai air mata yang sejernih embun pagi 

aku memohon untuk kau berhenti berbakti pada duniawi

gugurlah pada Ukhrawi

ku pohon untuk berhenti menguasai diri

air mata berjanjilah pada langit dan bumi agar tidak berguguran lagi

sederas hujan melimpahi bumi demi memiliki cinta duniawi

degupan jantung kian berlari mengadu supaya berjalan kaki untuk sampai ke destinasi 

Pada hati dan nafsu maafkan aku, kerana tidak boleh menuruti segala galanya

aku tetapkan diri untuk tidak selalu dimanjai, nafsu aku biarkan iman menguasai nya


Ya Allah Kuatkan Pemilik tubuh ini 

Supaya Aku memilih untuk berada, bertahan

dan meneruskan langkah hingga ke garisan penamat

bersama siapa yang Kau cinta


Aku yakin dengan janji Allah 

Allah Yang Maha Pengatur

Allah Maha Penghitung

Allah Maha Penyayang

Mana mungkin pemilik segala cinta & Jiwa

memberi kesakitan tanpa sebarang penawar

pengorbanan yang tanpa balasan, cinta yang tidak berkesudahan

Mana mungkin semua ini terjadi tanpa sesuatu yang lebih baik.

Terbaru

ORANG HEBAT UJIANNYA HEBAT.

Isu poligami dan penceraian memenuhi ruang maya. Ada yg pm dan mesej saya tanya sembang pasal ni. Macamnilah. Rahsia penghujung ke...

Penulisan Yang diminati ramai