Thursday, March 31, 2011

Memahami dulu baru difahami…..

Kisah 1

 Suatu hari saya didatangi oleh seorang pelajar.

"Cikgu, saya nak berhenti sekolah!" terkejut saya mendengar pernyataan itu. Saya melihat wajah sungul pelajar tersebut dengan penuh kehairanan lalu bertanya kembali "Kenapa nak pindah?” dengan linangan air mata dia berkata "Saya tak mampu nak hadapi hari esok, dia ugut saya nak bocorkan rahsia saya pada kawan sekelas sebab saya bergaduh dengan dia. Saya malu dan takut cikgu."

Saya tersenyum secara spontan. " Cikgu! Kenapa cikgu senyum , saya tahu perkara ini kecil bagi cikgu, cuba cikgu jadi saya mesti cikgu akan rasa benda yang sama." Saya terus memujuknya “ Ok cikgu cuba memahami kamu yer”.

Saya cuba mengimbau kenangan lama. Cuba untuk mengimbas kembali pemikiran dan kehidupan saya ketika usia mencecah 13 tahun. Mengecilkan diri dengan imiginasi untuk lebih menghayati isi hati perempuan yang berada di hadapan saya. Hmm ada kebenaran di sebalik kata-kata dia tadi.

 Dia menambah  "Cikgu dah besar ,mungkin perkara ini kecil bagi cikgu tapi bagi saya ia sangatlah besar, saya nak berhenti sekolah juga sebelum dia malukan saya." Saya membiarkan dia melepaskan kesedihan dengan penceritaan panjang tanpa titik. Mungkin itu dapat menenangkan emosi dia yang tengah bercelaru.

Ya, saya juga pernah dimalukan oleh teman sekelas dengan perkara-perkara yang memalukan saya seperti ejekan dan ugutan nak pecahkan rahsia bila bergaduh. Budak-budakla katakan. Itu modal yang paling laris untuk digunakan bila hati dah sakit , dendam pun mula seiring dengan emosi marah. Saya menghentikan lamunan saya bila terdengar deringan loceng rehat. “ Beginilah, jangan berhenti sekolah yer, cuba kamu bersabar sikit. Nanti cikgu bagi idea lain untuk tolong kamu”. Muka yang pada mulanya kelihatan sugul tampak sedikit bercahaya gembira. “ Ok cikgu , janji tau simpan rahsia baik-baik . Jangan bagitau dia , saya report kat cikgu!” saya tersenyum.

Kisah 2

Seorang anak berusia 7 tahun bertanya pada ibunya “ Ibu apa itu sex? “ Ibunya terasa sedikit kehairanan . “ kenapa  adik “. Anaknya terus berkata “ Jawabla mak, kalau tak adik tanya abang”. Alamak ibunya ada sedikit keraguan. Kalau ditanya pada abangya nanti salah pula faham. Ibunya pun menceritakan perihal sex dengan bahasa yang berbunga bunga pada anaknya.

Setelah habis bercerita, anaknya terus menangis kerana terkejut dengan pendedahan ibunya. Anaknya terus menjerit “ Ibu! dekat sini jawapan dia dua jer female / male . Kenapa ibu bagi jawapan panjang sangat macam tu?

Rupa-rupanya anaknya bertanya tentang sex= jantina untuk mengisi borang yang diberikan oleh guru. Sedangkan ibunya ingat anaknya bertanya tentang pendidikan sex. Ibunya baru sedar anaknya baru berusia 7 tahun . Pemikiran yang polos daripada perkara-perkara yang dewasa dari umurnya.

Kedua dua kisah ini saya editkan supaya menjadi contoh dalam kehidupan. Bila diri kita menginjak ke peringkat yang lain. Kita secara automatik akan terlupa bahawa kita pernah melalui fasa sebegitu suatu masa dahulu.

Dari alam kanak-kanak, alam tadika, alam persekolahan, alam remaja, alam masuk universiti sehingga berumahtangga dan bekeluarga. Fasa-fasa ini mengeluarkan kita dari pemikiran yang polos ke pemikiran yang penuh dengan kematangan sejajar dengan ilmu dan pengalaman hidup. Begitu juga dengan nikmat keduniaan yang kita perolehi daripada tidak mempunyai apa-apa sehingga memiliki pelbagai benda.

Namun bila kita di hadirkan masalah yang pernah kita lalui oleh orang lain kita lebih suka untuk difahami oleh orang lain dengan cara kita daripada kita memahami orang lain .

Mengharapkan si pendengar memahami kita sebagaimana pemahaman kita tanpa kita memahami dirinya terlebih dulu.

Melupakan perkara yang kita pernah tempuh suatu masa dahulu sepertimana mereka lalui.

Ibaratnya….

Pemimpin mengarahkan kita berjimat cermat dan belajar berniaga supaya lebih terancang kehidupan dan belanjawan negara. Sedangkan isi rumahnya terkenal dengan berbelanja mewah dan hidup dengan kemudahan yang melimpah ruah.

Orang yang berada di atas hebat dengan pengarahan sehinggakan hilang nilai kemanusiaan dan lupa yang dulunya dia bermula dari kerja bawahan. Memijak-memijak perasaan orang bawah sehinggakan terlupa persamaan aqidah yang tertulis dalam kamus kehidupan.

Ibu bapa memarahi anak-anak tanpa mengambil kira usia mereka, pengaruh rakan sebaya, kemajuan teknologi, kedangkalan ilmu agama dan kekurangan perhatian ibu bapa kepada mereka. Kadang kala mereka lupa dengan dosa mereka dahulu kala apabila melontarkan kemarahan melalui kata-kata yang pedih tanpa mempedulikan perasaan anak anak.

Guru memarahi anak murid tanpa memberikan rasional pada mereka dengan harapan murid akan faham dengan kemarahan bertempat guru tanpa mempedulikan ketidakwarasan anak muda yang semakin hari kian tipis imannya. Pelajar lebih bertemankan nafsu membungakan perasaan tatkalau usia mencecah alam remaja. Kemarahan tanda sayang kalau tidak disimpulkan dengan baik akan menyuburkan dendam kesumat di hati mereka.

Bos memarahi keraninya kerana lambat siapkan laporannya tanpa mengetahui bahawa anak buahnya sedang menghadapi ujian rumahtangga yang retak menantikan belah . Sedangkan ini kali pertama kerani ini lambat siap kerja di pejabat. Hilang semua ratusan kebaikan kerana tewas dengan satu kekurangan.

Sahabat yang semakin kurang perasaan kemanusiaan apabila sahabatnya meminta sedikit pertolongan tatkala diuji kesusahan kerana dirinya dimamah kemewahan harta benda dan kebahagiaan bekeluarga dan tengah berada di zon selesa. Sedangkan suatu ketika dulu dia dulu dibantu oleh sahabat2nya di zaman kesusahannya.

Seorang pelajar sekolah yang baru mengenal insan yang bergelar lelaki dan mula berkecimbung dengan dunia pergaulan menyulam bunga-bunga cinta, di provoke impian perkahwinan oleh kakak senior disekolah. . Sedangkan adik adik itu baru melangkah ke alam persekolahan. Hmm alamatnya pelajar tersebut matang dalam pergaulan tercicir dalam pelajaran.

Ayah mendesak anak tunggalnya menyambung bidang kedoktoran demi cita-citanya yang tidak kesampaian tanpa memperdulikan kemampuan anaknya dalam pelajaran .

Isteri yang asyik menyebut hak isteri tanpa mempedulikan hak suami kerana isteri lebih pandai dan banyak berbicara dan menang berhujah berbanding sang suami yang tidak ambil kisah.

Ada juga suami yang asyik berkempen ‘isteri harus menyelaraskan tindak tanduknya mengikut kesukaan suaminya tanpa diberi banyak pilihan’ sedangkan isteri penat bekerja sepanjang hari kerana berkongsi mencari nafkah untuk perancangan kehidupan masa depan.

Panjang lebar pula contoh diberikan. Saya rasa banyak lagi contoh yang sebenar kita akan alami sendiri dalam kehidupan. Kadang kadang kita perlu untuk memperlahankan kelajuan pemikiran mengikut keadaan, menguncikan kata- kata beberapa saat sebelum dilontarkan.

Kesimpulannya..

Jangan terlalu keras dengan ilmu, pemikiran dan pengalaman kita dalam kehidupan dalam setiap persoalan atau kejadian kehidupan insan lain dalam kehidupan.

Berhenti, Berfikir sejenak sebelum berterusan menyusun kata. Rehat seketika dengan menyelami perasaan agar nasihat, ucapan, kata-kata, tindakan dan perbualan kita tidak terlalu keterlaluan seiring dengan syariat dan zaman.

Jangan laju berkata sehinggakan mengikut perasaan , hampir hilang pertimbangan dan sangat memualkan untuk dijadikan panduan apatah lagi buat teladan atau pengajaran. Tajam menikam menusuk telinga menghentam pemikiran insan yang berdekatan.

Jadi, cuba untuk memahami dahulu seandainya ingin diri kita sendiri untuk di fahami. Insyaallah kita dan dia akan lebih memahami segala yang terjadi. Mencari kunci segala pintu permasalahan. Titik temu yang mendamaikan. Noktah kata yang akan mempersonakan .

Jangan terlalu taksub dan nak menang setiap kali dalam pertandingan di pentas kehidupan. Rendahkan hati dalam memberi pertimbangan. Raikan dengan memahami perasaan orang lain sebelum meminta perasaan kita diraikan. Berhenti sejenak dan renung-renungkanlah. Selamat beramal

" Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu ( yang bertelingkah ) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. "
Q.S Al-Hujuraat : 10

No comments:

Terbaru

ORANG HEBAT UJIANNYA HEBAT.

Isu poligami dan penceraian memenuhi ruang maya. Ada yg pm dan mesej saya tanya sembang pasal ni. Macamnilah. Rahsia penghujung ke...

Penulisan Yang diminati ramai